Awas penjawat awam, gerak-geri anda kini dalam perhatian masyarakat. Ke mana sahaja anda pergi, di mana anda berada dan apa yang anda buat sepanjang bertugas, semuanya akan diperhatikan dan dinilai.
Sekarang tanggapan masyarakat terhadap orang ‘gomen’ tinggi. Mereka mahu penjawat awam memberikan perkhidmatan terbaik dan tiada lagi yang ada kerja sambil lewa, sekadar tunggu gaji masuk cukup bulan.
Biarpun belum lagi menerima kenaikan gaji baharu yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini, itu bukan alasan untuk tidak berubah.
Datuk Seri Anwar Ibrahim juga ingin melihat semua penjawat awam bekerja dengan semangat dan budaya kerja baharu mulai Isnin lalu, bukannya di takuk lama selepas kenaikan gaji secara berperingkat sehingga melebihi RM500 diumumkan.
Perkhidmatan kaunter di pejabat-pejabat dan agensi kerajaan merupakan satu kaedah yang berkesan dalam penyampaian servis kerajaan kepada rakyat. Ia merupakan barisan hadapan yang sangat penting.
Baik buruk sistem penyampaian kerajaan dinilai melalui kepantasan kaunter-kaunter perkhidmatan. Jika terlalu lama tempoh menunggu, maka ia dianggap lembab.
Antara kaunter yang menjadi tumpuan seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Imigresen selain hospital kerajaan serta klinik kesihatan yang sinonim dengan waktu menunggu yang lama.
Selama ini kita sering mendengar rungutan masyarakat yang terpaksa menunggu lama giliran kerana tidak banyak kaunter dibuka, sedangkan pelanggan ketika itu ramai.
Selain itu, ada kakitangan yang kurang cekap, kurang mahir dan bekerja ‘lemah gemalai’ juga menyebabkan sesuatu urusan itu menjadi lembab.
Urusan pelanggan yang sepatutnya boleh diselesaikan dalam tempoh beberapa jam sahaja, terpaksa mengambil masa sehari, malah ada yang terpaksa ditangguh keesokan harinya.
Fenomena segelintir penjawat awam yang suka melepak di kedai makan ketika waktu bekerja juga menyebabkan pelanggan pula terpaksa menunggu mereka.
Keluar awal untuk makan tengah hari, tetapi masuk semula ke pejabat lewat. Cukup waktu balik rumah.
Budaya kerja seperti ini perlu diubah kerana ia memburukkan imej keseluruhan penjawat awam biarpun yang melakukannya hanya sebahagian. Sekarang, rakyat menjadi mata kerajaan. Facebook, Instagram dan TikTok, tempat aduan mereka.
Kenaikan gaji baharu yang bakal dinikmati datang bersama tanggungjawab besar, setimpal dengan gaji diterima. Tiada lagi alasan malas bekerja kerana gaji kecil.
Isnin lalu, urusan di kaunter pejabat-pejabat kerajaan di seluruh negara nampaknya tiba-tiba bertambah baik serta berjalan lancar melalui tinjauan Kosmo!.
Tinjauan di beberapa kaunter kerajaan menyaksikan kesemuanya dibuka bagi mengurangkan kesesakan.
Penulis yang berkunjung ke JPJ Cawangan Petaling Jaya semalam untuk urusan perlesenan pun tidak perlu menunggu lama nombor giliran. Dalam tempoh 10 minit selesai.
Tahniah untuk langkah permulaan. Diharapkan semangat seperti ini akan berterusan dan bukannya hanya bermusim.














