IPOH – Golongan wanita di negara ini menjadi sasaran scammer walaupun sudah banyak laporan berkaitan kes penipuan didedahkan oleh media.
Pegawai Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak, Asisten Superintendan Mohamad Mahathir Abdullah Sapawi berkata, wanita kesunyian berusia 40 tahun ke atas cenderung untuk melayan individu tidak dikenali menjadi faktor utama terjerat ‘love scam’.
“Mangsa love scam biasanya terdiri daripada golongan wanita berusia 40 tahun ke atas kerana rata-rata mereka di usia begini mempunyai wang.
“Bukan itu sahaja, wanita yang menjadi mangsa terdiri daripada golongan profesional seperti doktor, pensyarah dan lain-lain,” katanya ketika menyampaikan ceramah Kesedaran Jenayah Komersial Selamatkan Wanita dari Love Scammer di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa akan berkenalan dengan suspek melalui media sosial dan penipu itu menyamar sebagai juruterbang, peniaga, tentera atau jurutera minyak dan gas.
“Suspek akan menggunakan ayat-ayat manis sehingga mangsa jatuh cinta dalam masa tiga bulan. Paling cepat, sebulan sahaja mangsa akan diperdaya.
“Suspek kemudian memperdaya mangsa dengan alasan seperti mahu memberi hadiah, pelaburan perniagaan, wasiat dan bayaran bil hospital,” katanya.
Beliau berkata, pihak polis tidak memberi jaminan untuk mendapatkan semula wang mangsa kerana identiti suspek sukar dikenal pasti.
“Akaun bank yang digunakan juga adalah milik keldai akaun. Keldai akaun akan disoal siasat namun identiti scammer tidak dapat dikenal pasti kerana mereka (keldai akaun) juga menjadi mangsa (scammer),” katanya. – KOSMO! ONLINE