fbpx
Sedekad berhempas pulas dalam industri seni, Sissy Iman mengakui harus merendahkan ego dan mengikut selera muzik tempatan demi kelangsungan karier.

‘Nak jadi cikgu, pensyarah bukan takut tak laku menyanyi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPAS berjaya menyelesaikan ijazah sarjana (master) dalam bidang muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada awal tahun ini, penyanyi Sissy Imann merancang untuk menyambung pengajiannya ke peringkat doktor falsafah.

Menurut Sissy atau nama sebenarnya, Sissy Imann Mohammad Kamil, 29, mengikut perancangan, dia mahu melanjutkan pengajian pada tahun depan di sebuah universiti di luar negara.

“Sebenarnya selepas habis master memang ingin sambung doktor falsafah (PhD) dalam bidang seni persembahan muzik jika ada ruang dan peluang.

“Tetapi saya harus melihat perjalanan karier terlebih dahulu jika ingin sambung PhD di luar negara.

SISSY berhasrat menyambung pengajian ke luar negara suatu hari nanti.

“Kemungkinan besar saya harus memperlahankan kerjaya jika ingin fokus pada pelajaran. Biasa ikut kemampuan masing-masing, ada yang boleh selesai PhD dalam tempoh dua tahun ada yang empat tahun. Sama ketika saya sambung master saya memerlukan masa empat tahun,” tutur Sissy yakin dapat membahagikan masa dengan baik.

Tambah Sissy, memburu PhD bukan kerana mahu membuktikan kehebatannya sebaliknya sebagai persediaan untuk menjadi seorang pensyarah.

“Bukanlah wajib ada PhD tetapi saya perlu ada perancangan tambahan untuk masa depan. Sampai bila saya boleh menyanyi? Lihat sahaja penyanyi baharu sekarang semuanya lebih hebat dan sangat berbakat.

“Pada masa sekarang saya ingin kutip pengalaman sebanyak mungkin, jadi pada masa depan apabila saya jadi pensyarah orang akan lebih percaya dan yakin dengan ilmu yang saya sampaikan,” tutur Sissy.

Biarpun kini dia aktif sebagai penyanyi, kata Sissy menjadi seorang guru atau pensyarah merupakan cita-cita dan minatnya sementelah memiliki Ijazah Sarjana Muda Perguruan dalam bidang Pendidikan Muzik di Institut Pendidikan Guru (IPG) Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur.

“Memang saya minat mengajar bahkan saya mula menjadi guru piano sejak berusia 16 tahun lagi.

“Bukannya jadi guru atau pensyarah sebab takut tiada kerja, sebaliknya saya memang suka mengajar. Saya nampak, itulah masa depan saya,” kongsi Sissy lagi.

BERBAKAT dalam bidang muzik dan bergelar penyanyi tidak menyekat hasrat Sissy untuk mengejar cita-cita bergelar pendidik.

Rendahkan ego

Disebabkan memiliki pendidikan tinggi dalam bidang muzik, genre muzik yang diketengahkan Sissy dilabel terlalu urban dan hanya boleh dinikmati kelompok tertentu.

Mungkin kerana itu, perjalanan karier seninya mengambil masa lebih panjang berbanding rakan seangkatan lain seperti Sarah Suhairi, Afieq Shazwan dan Wani Kayrie.

“Dahulu saya nafikan perkara itu tetapi sekarang saya akuinya. Apabila saya belajar muzik kita rasa kita tahu semua benda.

“Walhal hakikatnya, saya perlu turunkan ego dan perlu faham setiap orang ada selera masing-masing. Tetapi dalam masa sama saya tidak mahu hilang identiti diri sebagai Sissy Imann dalam muzik.

“Agak lama juga untuk saya sedar perlu tukar sedikit muzik mengikut kehendak peminat tempatan iaitu selepas menyertai program Famili Duo. Jadi, saya perlu mencari titik temu untuk saya dan pendengar muzik selesa,” tutur Sissy.

Oleh kerana itu, Sissy bakal muncul dengan buah tangan terbaharu dengan nama Warga Sayu bersama sepupunya, penyanyi Naim Daniel pada penghujung tahun ini.

Berbeza dengan album solo masing-masing, projek Warga Sayu berkonsep lagu-lagu galau.

“Album Warga Sayu memuatkan enam lagu yang ditulis oleh kami berdua. Jika menyanyikan lagu-lagu daripada album ini, kami tidak dikenali sebagai Sissy mahupun Naim sebaliknya duo Warga Sayu.

“Imej itu yang akan diperkenalkan untuk album ini bagi membezakan hala tuju album duo dengan album solo kami,” kata Sissy.

Jelas Sissy lagi, idea duo itu timbul selepas mereka menyertai program Famili Duo dan ada permintaan untuk tampil dengan lagu duet.

“Lagu pertama yang kami cipta untuk album Warga Sayu adalah Titik Mula yang dicipta menerusi Face Time sahaja. Insya-Allah lagu ini akan jadi single pertama kami,” kata Sissy.

KASIH tak berpenghujung, Sissy bergandingan dengan ayahanda tercinta, Mohammad Kamil Moustaffa menyampaikan lagu Jeritan Batinku. – FIRDAUS M. JOHARI

Showcase

Menyambung bicara tentang konsert mini sulungnya, Sissy Imann The Showcase yang berlangsung di Blackbox Damansara Performing Arts Centre (DPAC) pada minggu lalu, Sissy tidak putus menzahirkan rasa syukur.

Melakukan persediaan sejak Januari lalu, menerusi konsert mini itu dia tampil berbeza hadir bersama band.

“Jujur, saya tidak sangka tiket akan habis dan ramai rakan penyanyi gred A turun seperti Datuk Syafinaz, Aina Abdul, Ernie dan Syamel serta ramai lagi.

“Terasa diri sangat kerdil, tetapi saya berpuas hati semuanya berjalan lancar dan jika diberi peluang saya ingin melakukan persembahan di tempat lebih besar selepas ini.

“Soal persembahan dengan band, selepas ini tiada lagi persembahan Sissy bersama minus one sebaliknya akan bersama band atau Sissy bersama gitar atau piano,” tuturnya.

Sissy diiringi pemuzik Irena Taib selaku pemain gitar elektrik, Anwar Hamzah (gitar akustik), Nisa Addina (biola), Melina William (bass) dan Ruviyamin (drum).

Berkongsi tentang cabaran melakukan konsert sulung itu kata Sissy, dia terlibat dalam semua proses daripada pembikinan poster sehinggalah pemilihan lagu.

“Semua perincian konsert ini saya terlibat, memang sangat sukar. Sudahlah keluarkan duit sendiri, semua aturan juga harus dibuat sendiri.

“Tetapi ini satu pengalaman yang manis buat saya. Selepas ini andai ada tawaran melakukan persembahan berskala lebih besar banyak perkara saya sudah tahu dan belajar,” tuturnya.

Dalam persembahan berdurasi hampir dua jam itu, Sissy mendendangkan 14 lagu antaranya Overture, Balang Boneka, Ribut, I Wish You Love, Can’t Take My Eyes Off You, Bebas, Tersakit, Namaku Padamu, Cinta Seadanya dan Pesan Ayahanda.

Sissy turut mendendangkan lagu Titik Mula bersama Naim Daniel selain persembahan bersama bapanya, Mohammad Kamil Moustaffa menerusi lagu Jeritan Batinku.

SISSY dan Naim berduet menyampaikan lagu terbaharu mereka, Titik Mula dalam Sissy Iman The Showcase.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN