BALING – “Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa, biarlah mahkamah yang menentukan.”
Demikian kata Nurain Hasnorizal, 25, ibu kepada Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, dan Muhammad Luth Syauqi, 2, yang meninggal dunia selepas termakan jajan bercampur racun tikus dalam kejadian di Kampung Padang Ubi, Labu Besar di sini minggu lalu.
Menurut Nurain, dia menganggap insiden yang meragut nyawa anak sulung dan bongsunya itu sebagai suratan takdir.
“Saya tidak akan mengambil apa-apa tindakan, saya serahkan kepada polis dan mahkamah,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Jelas wanita itu, suspek berusia 33 tahun yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes itu mempunyai pertalian saudara dengan keluarga sebelah suaminya.
Sementara itu, sumber memberitahu, lelaki yang direman selama enam hari sejak 11 Julai lalu akan dibawa ke Kompleks Mahkamah Kulim di sini hari ini bagi proses lanjutan reman.
“Polis masih menyiasat kes ini dan proses memohon lanjutan reman dibuat bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) atas kesalahan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan kerana cuai berkaitan benda beracun.
Kosmo! pada 8 Julai lalu melaporkan dua adik-beradik berusia dua dan tiga tahun kritikal selepas memakan keropok yang disaluti racun tikus.
Keropok tersebut dikatakan digantung pada tiang di kebun berkenaan bagi memerangkap monyet.
Dua hari kemudian, Muhammad Akil disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik, Hospital Pulau Pinang (HPP).
Selang dua hari, adiknya iaitu Muhammad Luth pula menyusul apabila disahkan meninggal dunia pada pukul 1.24 tengah hari selepas 120 jam bertarung nyawa di hospital sama.
Susulan kejadian itu, polis memberkas seorang pekebun berusia 33 tahun bagi membantu siasatan.
Ibu mangsa pernah memaklumkan, keluarga suspek ada menghubunginya sebelum ini dan memohon maaf atas insiden yang berlaku sehingga meragut nyawa dua anaknya itu.
Berita berkaitan: Jajan racun tikus: Adik Luth sudah pergi














