BARU-BARU ini pempengaruh, Rajeswary Appahu atau Esha dikatakan bertindak ‘mengambil nyawa sendiri’, dipercayai akibat perbuatan buli siber di platform TikTok.
Kes tersebut mengundang kemarahan pengguna media sosial tidak mengira bangsa selain mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang menyatakan komitmen membentangkan isu buli siber pada mesyuarat Kabinet.
Apa maksud buli siber? Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), ia perbuatan mengancam, memalukan atau menakutkan seseorang melalui medium elektronik seperti e-mel, laman rangkaian sosial, mesej atau permainan internet.
Bahkan, perbuatan buli siber ini lebih dahsyat daripada kes buli lain memandangkan pembuli sukar untuk dikenal pasti kerana mereka boleh merahsiakan identiti sebenar.
Menerusi Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) sebelum ini, Malaysia berada di kedudukan kedua di Asia pada 2020 bagi perbuatan buli siber dalam kalangan belia.
Oleh itu, buli siber tidak boleh dianggap kecil atau dipandang enteng. Mendiang Esha antara kes yang dilaporkan oleh media. Boleh jadi ada lagi kejadian, namun tidak dilaporkan.
Jika kita melayari media sosial, boleh ditemui banyak perbuatan dianggap sebagai buli siber. Antaranya penghinaan rupa paras fizikal atau ‘body shaming’ yang memberi kesan buruk kepada kesihatan mental mangsa.
Kes ‘body shaming’ pernah dibawa ke mahkamah. Pada Jun 2022, Mahkamah Tinggi di Johor memerintahkan pempengaruh, Noorazira Pissal atau lebih dikenali sebagai Eira Aziera membayar ganti rugi RM100,000 dan kos guaman RM30,000 kepada Suharnizan Md. Sidek yang menjadi mangsa ‘body shaming’ pada Ogos 2020.
Biarpun ada yang telah menerima hukuman, namun kisah itu seolah-olah tidak memberi kesedaran kepada segelintir yang lain untuk tidak terjebak menjadi pembuli siber.
Memetik perkongsian Pengerusi Psikospiritual Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Profesional, Saintifik dan Islamik, Dr. Alizi Alias, menjadi tanggungjawab ahli komuniti, masyarakat (termasuk netizen) dan institusi untuk mewujudkan sistem yang boleh menghalang dan menghukum perbuatan buli siber.
“Kadang-kadang mangsa buli siber tiada tempat untuk meminta tolong. Institusi kerajaan, institusi swasta dan badan bukan kerajaan perlu mempermudahkan akses kepada kaunselor, ahli psikologi kaunseling, pekerja sosial dan doktor psikiatri.
“Pastikan mangsa merujuk pakar yang betul, dilatih secara saintifik, beretika dan profesional, bukannya pakar palsu sekadar boleh memberi kelegaan sementara, tapi berisiko mengalami kemudaratan jangka panjang,” katanya.
Jelasnya, pembuli siber dahagakan ‘status’ dan ‘pengiktirafan’, jadi masyarakat perlu membuat advokasi dan kempen.
“Bagi sekolah dan institusi pengajian tinggi pula perlu ada prosedur operasi standard (SOP) untuk segera menyiasat dan menghukum pembuli siber tanpa mengira latar belakang dan tanpa perlu menjaga nama baik institusi.
“Ini kerana, ia adalah kekejaman luar biasa yang tidak tampak (kelihatan) dan berlarutan yang akan memudaratkan institusi secara jangka panjang.
“Netizen pula secara beramai-ramai perlu memberikan sokongan moral kepada mangsa buli siber dan agamawan memberi peringatan tentang dosa menjadi pembuli,” ujarnya.














