LIGAT mengatur langkah kerjaya dengan meneroka pelbagai cabang seni, hakikatnya Aizat Amdan belum puas untuk berkarya dan berkongsi ilmu di dada.
Biarpun sudah hampir dua dekad penyanyi juga komposer itu memikat peminat muzik dengan karyanya, masih ada sesuatu yang belum memuaskan hatinya.
Sebagai anak seni yang meraih sokongan padu peminat, jauh di sudut hatinya, pemilik nama lengkap Muhammad Aizat Amdan, 35, ingin memberi sesuatu kepada khalayak.
Alasan itulah mendorong Aizat merealisasikan sebuah podcast atau saluran audio siar yang ‘dihidupkan’ sejak awal Januari tahun ini dinamakan Dari Studio.

Enggan mengetengahkan elemen sensasi, sebaliknya program bual bicara yang sudah memasuki episod 24 itu bersembang mengenai pembikinan lagu.
“Inilah yang mahu saya kongsikan iaitu mengajar bakat muda dalam penciptaan lagu, kaedah susunan muzik dan seni kata selepas menerima banyak pertanyaan.
“Daripada sembang kosong, lebih baik atau sekadar menjurus cerita sensasi lebih baik dimanfaat dengan pengisian ilmu.
“Bukanlah Dari Studio tiada langsung perbualan berkaitan isu semasa kerana dalam berborak mungkin kita secara tidak sedar menyentuh sesuatu hal panas, cuma fokus asal tidak lari kerana tujuan saya adalah memberi semula kepada masyarakat,” katanya kepada HibGlam.
Aizat yang diundang memeriahkan Festival Atas Angin 2024 bersama 100 penyanyi lain pada 3 Ogos depan turut mengakui, pembabitan dalam persembahan seperti festival tersebut lebih banyak dikongsikan dalam YouTubenya.
“Pengisian YouTube dan podcast agak berbeza supaya pengikut tidak keliru, namun selepas 24 episod sudah ada penonton tegar. Alhamdulillah.

Sepentas Alleycats
“Bagi yang mahu belajar buat lagu, Dari Studio adalah tempatnya. Kami juga jemput ramai penggiat seni untuk berkongsi pengalaman.
“Antaranya adalah Apoel Reza, Aziz Harun, Amylea Azizan, Haqiem Rusli dan tidak ketinggalan seorang artis antarabangsa yang belum boleh didedahkan,” ujarnya.
Menyentuh mengenai penyertaan dalam Festival Atas Angin yang bakal diadakan di Roof@7 MyTown, Aizat mengakui tidak sabar beraksi bersama idolanya, Alleycats.
“Tahun lalu saya datang sebagai penonton. Tak sangka penganjur pelawa saya memeriahkan festival terbesar yang disertai banyak band indie itu.
“Sudah tentu saya enggan lepaskan peluang kerana bukan sahaja diadakan 15 jam tanpa henti, ramai penyanyi serta band bakal beraksi.
“Tambahan pula saya seorang peminat kumpulan ikonik Alleycat.
“Inilah kali pertama saya dapat berada di pentas saja dengan mereka,” tambahnya.

Album ‘city pop’
Baru tampil pada acara JioSpace Februari lalu bersama penghibur Indonesia, Fabio Asher, Festival Atas Angin juga merupakan peluang ditunggu-tunggu.
Penyanyi Lagu Kita itu mengakui berbesar hati menyertai acara tahunan tersebut yang disifatkan sebagai medan mengangkat pemain industri muzik tempatan sepenuhnya.
Bercerita mengenai kecintaan terhadap seleksi hits 1980-an dan 1990-an, katanya selain Alleycats, Francissa Peter dan Allahyarham Datuk Sudirman adalah sumber inspirasi dalam merealisasikan album akan datang.
Selain konsert solo, impian yang belum tertunai adalah menerbitkan sebuah album berkonsep ‘Kuala Lumpur City Pop’.
“Saya suka lagu lama kerana pada era itu karya yang dihasilkan mempunyai melodi dan lirik meninggalkan kesan mendalam.
“Susah untuk saya gambarkan keistimewaan dendangan malar segar yang menjadi sumber inspirasi sehingga ke hari ini.
“Kalau diizinkan dan tiada kekangan, saya mahu tampil dengan album bernuansa 1980-an dan 1990-an,” ujarnya.
Pada masa sama, lagu baharu dalam album berkenaan juga diharap dapat diperdengarkan pada konsert pada masa akan datang.
“Harapannya dapatlah lancarkan album baharu ini secepat mungkin. Tapi saya seorang yang cerewet dan mahukan kesempurnaan.
“Sekarang dalam proses mengumpul bahan, banyak kali saya ubah itu ini kerana saya jenis tak pernah puas,” katanya menutup bicara.

















