fbpx
Gambar hiasan.

Skim cepat kaya jalan pintas jadi muflis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Niat mahu menggandakan wang simpanan, namun akhirnya kecundang. Kes penipuan pelaburan makin kerap dilaporkan di dada-dada akhbar sekarang. Pelbagai taktik yang tidak masuk akal sudah didedahkan pihak berkuasa.

Misalnya melabur sebanyak RM600 dan dijanjikan pulangan RM8,500 dalam masa dua hari. Malah ada yang sanggup menyerahkan wang yang jumlahnya mencecah sehingga jutaan ringgit kepada scammer. Perkara itu amat membimbangkan.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman merekodkan sebanyak 14,488 kes penipuan pelaburan sejak 2019 hingga 2023 membabitkan nilai kerugian RM1.34 bilion.

Tidak mustahil, ada mangsa penipuan pelaburan yang jatuh miskin dan status kemewahan berubah gara-gara termakan dengan sindiket penipuan tersebut.
Sikap tamak menyebabkan mereka tersungkur.

Justeru antara langkah yang boleh diambil bagi membanteras kegiatan jenayah itu adalah dengan memastikan lebih banyak maklumat tentang ilmu pelaburan dan ciri-ciri skim tidak sah didedahkan kepada umum.

Bagi kegiatan perjudian online pula, kebanyakan mereka yang terjebak dalam aktiviti tersebut sukar untuk diselamatkan.

Jiwa yang tamak mahu mendapatkan ’durian runtuh’ dalam tempoh singkat membuatkan mereka sanggup meminjam wang sehingga lima angka. Selesai meminjam, ibu bapa dan keluarga jadi mangsa dikejar pemungut hutang.

Ada ibu bapa dengan rela hati membuang anak mereka yang kaki judi bagi mengelak diganggu ceti haram tersebut.

Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia, Daniel Khoo berkata, pihaknya merekodkan sebanyak tiga aduan daripada keluarga yang diganggu along selepas anak mereka membuat pinjaman sehingga RM200,000 sejak Jun lalu.

“Berjudi ini tidak akan menang selamanya, apabila ketagih ditambah pula beban kerja lama-kelamaan kawan-kawan dan ahli keluarga akan menjauhkan diri.

“Hendak melayan orang ketagih berjudi ibarat penagih dadah. Apabila kalah mereka akan mengamuk dan ada yang membuat pinjaman wang. Tetapi yang menanggung akibatnya adalah orang terdekat.

“Saya ada kawan yang dahulunya tinggal di banglo, memandu kenderaan mewah tapi sekarang sudah hilang entah ke mana kerana ketagih berjudi, semua kemewahan itu lenyap,” katanya.

Justeru itu, harus disematkan dalam fikiran kita bahawa tiada jalan pintas untuk kaya termasuk juga berharap nasib kepada orang lain dalam menentukan masa hadapan kita.

Hanya dengan usaha, doa dan tawakal mampu mengubah hidup seseorang itu ke arah yang lebih baik termasuk mendapatkan kesenangan dalam bentuk kewangan.

Bagi mereka yang sudah terjebak dengan skim pelaburan cepat kaya atau berjudi dengan niat untuk mendapatkan wang segera, masih belum terlambat untuk anda mengelakkan kegiatan tersebut.

Bertindak segera dengan menjauhkan diri daripada perkara yang bukan sahaja boleh memudaratkan diri, malah orang terdekat.

Jangan hanya kerana mengikut perasaan sendiri, kita kehilangan ahli keluarga dan rakan-rakan. Jangan dek kerana tamak wang, ada yang sengsara di kemudian hari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN