PETALING JAYA – Keluar bersama kakak tanpa izin teman lelaki menjadi punca seorang pelakon memukul teman wanitanya dalam kejadian di Ara Damansara, di sini awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, mangsa yang merupakan peniaga sudah menjalin hubungan cinta dengan suspek kira-kira lapan bulan lalu.
Katanya, polis kini dalam tindakan memanggil suspek untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
“Pengadu merupakan kekasih suspek, suspek memukul mangsa kerana tidak berpuas hati selepas wanita itu keluar dengan kakaknya tanpa izin.
“Polis akan mendapatkan perintah untuk siasat (OTI) daripada Timbalan Pendakwa Raya dan memanggil suspek untuk memberi keterangan,” katanya kepada Kosmo!.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang wanita mendakwa dipukul teman lelakinya yang juga pelakon di Ara Damansara, di sini semalam.
Mangsa membuat laporan di Balai Polis Sea Park pada pukul 6 petang semalam.
Mangsa memaklumkan kejadian berlaku selepas mangsa dihubungi teman lelakinya yang berusia 37 tahun ketika dia keluar bersama kakaknya pada pukul 3 pagi.
Pada pukul 4 pagi, mangsa bertemu dengan suspek dan masuk ke dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu teman lelakinya di lokasi kejadian.
Lelaki itu kemudian memarahi dan menumbuk mata kiri serta badan mangsa. Kes disiasat di bawah 323 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE
















