LAS VEGAS – Juara dunia lima kali, Brazil harus menyalahkan diri sendiri kerana gagal mengambil kesempatan ke atas Uruguay yang bermain 10 orang apabila tewas 2-4 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi suku akhir Copa America sebentar tadi sekali gus tersingkir ke separuh akhir.
Meskipun menentang lawan ‘tempang’, tetapi Selecao dilihat buntu untuk mencari gol walaupun mereka menguasai sepenuhnya aksi di Stadium Allegiant itu apabila sekadar seri tanpa jaringan dalam tempoh 90 minit sebelum akur dengan ketangkasan penjaga gol Uruguay, Sergio Rochet di penentuan tersebut.
Kekalahan itu secara tidak langsung meranapkan impian Brazil yang berhasrat untuk melangkah ke final buat kali ketiga berturut-turut selepas berjaya melakukannya ketika menjuarai edisi 2019 dan muncul naib juara tiga tahun lalu.
Ketiadaan pemain sayap lincah Real Madrid, Vinicius Junior disebabkan penggantungan satu perlawanan, ternyata meninggalkan impak cukup besar buat Brazil yang dilihat ketiadaan idea di bahagian depan apabila sekadar melakukan tiga percubaan tepat ke gawang Uruguay.
Biarpun pemain tengah Uruguay, Nahitan Nandez dilayangkan kad merah kerana mengasari Rodrygo pada minit ke-74, namun skuad bimbingan Dorival Junior itu masih gagal untuk merobohkan benteng pertahanan lawan dalam baki perlawanan selepas itu.
Kegagalan Eder Militao dan Douglas Luiz menyudahkan percubaan mereka ketika penentuan sepakan penalti menjadi penyebab utama kekalahan Brazil biarpun Andreas Pereira serta Gabriel Martinelli berjaya menjaringkannya sebelum itu.
Di separuh akhir nanti, Uruguay akan menentang Colombia yang menewaskan Panama 5-0 pagi tadi, manakala juara bertahan, Argentina bakal berdepan Kanada. – AGENSI