DARI kejauhan, penulis terlihat orang ramai sedang berkumpul di satu sudut dan sedang memegang beberapa objek berwarna kelabu yang digantung sebagai sebuah instalasi seni.
Selepas diamati, kerja seni tersebut rupa-rupanya dihasilkan dengan menggunakan mesh wire atau juga lebih dikenali sebagai ‘dawai ayam’ oleh seorang pembuat arca berbakat iaitu Jamil Zakaria.
Siapa sangka, sesuatu bahan yang dianggap biasa bagi kebanyakan orang, jika diberi sentuhan seni oleh insan yang berbakat, mampu tampil memukau dan bernilai.
Kerja seni yang dihasilkan secara solo oleh Jamil itu merupakan antara instalasi seni yang dipamerkan dalam acara Festival Tukang yang diadakan di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Jamil merupakan salah seorang daripada enam penerima geran dalam sebuah pertandingan bertemakan ‘Reka Lestari’ dari agensi pelancongan rasmi negeri Selangor iaitu Tourism Selangor yang bertujuan memupuk bakat tempatan dengan menjadikan Selangor sebagai hab industri kreatif.
Berkongsi perasaannya sebagai salah seorang pemenang geran berjumlah RM10,000 itu, Jamil memberitahu dia sama sekali tidak menyangka rezeki berpihak kepadanya.
“Saya sama sekali tidak menyangka terpilih sebagai salah seorang penerima, memandangkan saya melihat lebih ramai artis lain yang juga cukup berbakat.
“Namun, saya anggap ini sebagai rezeki saya dan amat bersyukur,” katanya yang teruja apabila ramai yang mulai sedar dan berminat dengan karya seninya yang dihasilkan sepenuhnya menggunakan dawai ayam.
Tidak keterlaluan jika dikatakan, Jamil merupakan artis arca dawai yang cukup menyinar memandangkan tidak ramai yang mampu menghasilkan kerja seni yang menarik dengan hanya menggunakan dawai ayam iaitu dawai yang biasa digunakan untuk memagar reban ayam.

Ujar lelaki berusia 39 tahun itu, minatnya terhadap penghasilan arca dawai timbul selepas menamatkan pengajian dalam bidang seni halus dari sebuah universiti tempatan pada 2009.
Sama seperti artis lain, Jamil turut bereksperimen dengan bahan seni lain seperti kayu dan tanah, sebelum jatuh cinta dengan dawai.
“Jika diikutkan, ia berlaku secara tidak sengaja kerana selepas menamatkan pengajian, saya mendapati tidak mempunyai peralatan yang canggih untuk hasilkan produk seni.
“Memandangkan saya sememangnya merupakan seorang artis sepenuh masa, maka saya perlu juga lakukan sesuatu untuk menghasilkan karya seni, memandangkan ini adalah periuk nasi saya.
“Saya cuba mencari benda asas di rumah yang boleh dijadikan produk seni dan daripada situlah saya mula bereksperimen dengan dawai,” katanya kepada K2.
Bagi Jamil, arca dawai yang dihasilkannya diibaratkan seperti sebuah karya lukisan, cuma peralatannya yang berbeza.
Menghasilkan sesuatu kerja seni dengan menggunakan dawai datang dengan cabarannya sendiri dan menurut anak kelahiran Guar Chempedak, Kedah itu, cabarannya adalah terbahagi kepada dua iaitu cabaran dari segi teknikal dan juga idea.
“Sebelum ini, saya menghasilkan karya seni dawai daripada single wire yang memerlukan saya untuk menganyam serta melilit dawai tersebut satu per satu.
“Ia menjadi cabaran teknikal buat saya.
“Kini, selepas menggunakan dawai jenis mesh pula, cabaran teknikalnya pula adalah daripada proses membentuk dawai itu supaya menjadi satu arca atau pun satu kerja seni yang cantik dan solid.
“Bagi cabaran idea pula, saya perlu sentiasa kreatif dan terus berkarya sama ada untuk pameran seni mahu pun kerja seni untuk klien,” katanya.

Bercakap tentang idea, Jamil berkata dia banyak mengambil inspirasi daripada apa yang berlaku di sekelilingnya.
Sebagai contoh, pameran seni bertajuk ‘Deru Arus’ yang berlangsung sempena Festival Tukang baru-baru ini adalah diinspirasikan daripada alam sekitar.
“Deru Arus merupakan cara saya menterjemah kerosakan alam yang berlaku akibat kerakusan manusia.
“Konsep dan idea instalasi seni ini diambil daripada masalah pencemaran sungai dan laut yang turut menjejaskan ekosistem kita, khususnya hidupan akuatik.
“Dalam artwork ini, sebanyak 250 ikan daripada dawai digunakan sebagai metafora yang mewakili kehidupan laut,” katanya.
Jamil berkata, dia lazimnya mengambil masa antara satu hingga dua bulan untuk menghasilkan satu arca dawai bersaiz besar.
Bagi arca dawai bersaiz kecil seperti arca berbentuk tikus atau anjing, ia memakan masa antara satu hingga dua minggu.
“Jika arca itu bersaiz kecil atau lebih kecil lagi seperti ikan yang saya hasilkan ini, seekor ikan cuma mengambil masa sekitar tiga minit untuk disiapkan,” katanya.
Jamil berharap agar dia mampu terus berkarya dan menyinar sebagai artis seni berasaskan dawai.
Biarpun kebanyakan karya seninya adalah untuk pameran dan juga tempahan daripada klien, namun Jamil memberitahu bahawa dia akan tetap menghasilkan sesuatu setiap kali mempunyai idea.
“Bekerja sebagai artis sepenuh masa ini bermakna saya perlu tetap berkarya sekiranya idea tiba-tiba muncul.
“Tanpa tempahan atau pameran seni sekali pun, tangan saya tetap juga menghasilkan apa sahaja arca dawai kerana saya rasa rugi jika saya meninggalkan kerja-kerja ini begitu sahaja,” katanya yang turut menganjurkan bengkel asas bagi mereka yang berminat untuk belajar menghasilkan arca daripada dawai.














