fbpx
PAYO Campsite di Johol, Negeri Sembilan menawarkan perkhemahan santai buat penggemar aktiviti berkenaan.

Tapak khemah konsep ‘summer camp’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TENANG dan mendamaikan. Itu gambaran paling tepat sebaik sahaja menjejakkan kaki di Payo Campsite yang terletak di Kampung Renggoh, Johol, Negeri Sembilan.

Jauh dari kesibukan dan kebisingan kota, hanya kedengaran deruan air sungai serta angin sepoi-sepoi bahasa dengan cuaca yang baik, ia cukup mengasyikkan.

Berkeluasan 8 hektar dengan persekitaran kampung dan dusun, pastinya kawasan itu mampu mengimbau kenangan pengunjung berada di kampung halaman.

Suasana tenang dengan kehijauan alam semula jadi juga mampu menggamit kenangan bagi merehatkan minda dan memulihkan jiwa.

Baru-baru ini, acara ‘Blackdog Meet n Greet’ anjuran bersama Campguru, FTG dan Staresso telah memilih Payo Campsite sebagai lokasi perkhemahan.

Acara selama tiga hari dua malam itu mengumpul komuniti peminat ‘black camper’ iaitu golongan penggemar aktiviti perkhemahan bertemakan serba hitam yang kini semakin popular di negara ini.

Penulis bersama 46 peserta lain berpeluang menyertai acara itu dengan memacak khemah di sekitar tapak perkhemahan berkenaan.

Untuk makluman, Payo Campsite diusahakan oleh Pengerusi Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (Pergak), Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad.

Katanya, idea asal tempat itu adalah untuk golongan rentan diberi ‘peluang kedua’ bersama masyarakat.

Sebahagian peserta yang menyertai acara ‘Blackdog Meet n Greet’ di Payo Campsite, Johol, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Inisiatif ‘jiwa murni’ itu bagi membantu memulihkan semangat dan memberi nafas baharu kepada mereka yang terdiri daripada bekas banduan, penagih dadah dan golongan kurang upaya (OKU), sekali gus menyuntik semula semangat mereka melalui alam.

“Bukan itu sahaja, mereka diberi peluang menjadi petugas di situ dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Sumber Manusia.

“Dengan kekuatan seramai 20 pekerja daripada golongan itu, mereka bersama-sama membantu mendirikan tapak dan kemudahan di Payo Campsite.

“Ini secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka bergaul dengan masyarakat bagi memulakan hidup baharu,” katanya.

Tapak perkhemahan yang serba lengkap itu mempunyai pelbagai kemudahan asas termasuk tempat barbeku dan bekalan elektrik bagi menjamin keselesaan para pengunjung terutama penggemar aktiviti perkhemahan.

Menariknya, tapak perkhemahan itu mampu memuatkan sehingga 100 khemah pada satu-satu masa.

Menurut Siti Murni, dia membangunkan tempat itu menggunakan dana sendiri di atas tanah adat dengan berkonsepkan ‘summer camp’ seperti di luar negara.

Ujarnya, sasaran utama pengunjung adalah mereka yang meminati aktiviti perkhemahan.

“Matlamat utama pembinaan Payo Campsite ini adalah untuk memulihkan semangat terutama kepada pekerja daripada golongan rentan. Ia bagi membentuk semula jati diri agar tidak lagi kembali ke kancah kesalahan lalu.

“Saya mahu memberikan pengalaman baharu kepada bekas penghuni dengan tidak ‘mengurung’ mereka, sebaliknya memberi kebebasan untuk menjadikan tempat ini seolah-olah kediaman baharu mereka,” katanya.

Siti Murni cukup bertuah kerana semua pekerjanya cekap menyesuaikan diri dengan persekitaran dan masyarakat.

Malah, penduduk sekitar tidak memandang serong, sebaliknya memberi sepenuh kepercayaan sejak setahun tapak itu mula beroperasi.

Selain aktiviti perkhemahan, Payo Campsite juga sesuai untuk dijadikan lokasi acara seperti majlis perkahwinan, keramaian dan penganjuran acara riadah santai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN