SHAH ALAM – Perobohan Stadium Shah Alam yang dijangka dilakukan pada bulan lalu masih belum dilaksanakan susulan belum menerima pelan pembangunan daripada pemaju.
Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd. Fauzi Mohd. Yatim berkata, syarat penyediaan pelan tersebut perlu dipatuhi meskipun pelan Kebenaran Merancang telah diluluskan hujung tahun lalu.
“Setakat ini, pelan untuk apa yang pemaju ingin lakukan di situ belum diserahkan secara rasmi (kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)) tetapi perbincangan itu memang ada dari segi rekabentuk.
“Pembangunan utama di lokasi tersebut adalah stadium berkapasiti 40,000 orang selain fasiliti komersial sokongan dan pembinaan hotel pada fasa akhir pembinaan kelak.
“Ada beberapa isu di peringkat kerajaan negeri untuk diselesaikan (dulu). MBSA hanya menunggu arahan selanjutnya dari pihak kerajaan negeri pada masa ini,” katanya, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Shah Alam yang ke-12 menggantikan Ir.Cheremi Tarman yang bersara wajib pada 28 Mei lalu.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI), Saipolyazan M. Yusop dilaporkan memaklumkan kerja-kerja perobohan Stadium Shah Alam dijangka bermula Mei ini selepas Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) diberikan tempoh selama tiga bulan untuk mematuhi syarat kontrak.
Aktiviti perobohan akan dilakukan secara manual dan bukannya menggunakan peledak bom agar tidak menganggu ketenteraman penduduk yang tinggal di Seksyen 13, di sini.
Dalam perkembangan berlainan, Mohd.Fauzi yang merupakan bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya turut memaklumkan agenda mengatasi masalah banjir terutama di Taman Sri Muda akan diteruskan bagi kelestarian penduduk di lokaliti tersebut khususnya. – KOSMO!ONLINE