fbpx
Sekumpulan lelaki membantu penduduk yang terkandas ketika melalui jalan berlumpur di Pos Senderut.

Jatuh gaung gara-gara jalan rosak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LIPIS – Masalah jalan rosak te­rus membelenggu kira-kira 6,000 masyarakat Orang Asli di 12 buah perkampungan di Pos Senderut, Hulu Jelai di sini, sehingga menyebabkan adakalanya mereka terputus hubungan terutama ketika musim hujan.

Keadaan jalan yang berlumpur itu hanya boleh dilalui oleh kende­raan pacuan empat roda dan motosikal.

Penduduk bukan sahaja sukar untuk keluar membeli barangan keperluan dan menghantar anak ke sekolah, malah mereka buntu sekiranya berlaku kes kecemasan untuk ke hospital atau kematian.

Tok Batin Bukit Long, Pos Senderut, Batin Manzurizal Manang, 43, berkata, laluan sejauh 35 kilometer (km) dari Kampung Belau ke Sekolah Kebangsaan Pos Senderut itu tidak berturap sekali gus mengundang bahaya terutama musim hujan.

“Kerosakan jalan ini menyukarkan anak-anak dari Kampung Tual, Kampung Campian dan Kampung Reggang berulang-alik ke sekolah.

Keadaan jalan berlumpur menyukarkan masyarakat Orang Asli di Post Senderut, Hulu Jelai, Lipis berulang-alik melakukan urusan harian mereka.

“Saya pernah beberapa kali mengajukan permohonan bagi mendapatkan peruntukan membaiki jalan, namun dipandang sepi,” katanya ketika ditemui.

Penduduk Kampung Tigol, Mahathir Tegos, 60, membe­ritahu, jalan rosak itu menyebabkan ada penduduk yang mengambil masa lebih tiga jam untuk ke pekan berhampiran.

Jelasnya, mereka terpaksa menggadai nyawa melalui jalan berlubang dan tidak berturap itu pada waktu malam.

“Pernah berlaku kejadian penduduk terjatuh dalam gaung, ada yang patah kaki,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Sani Subang, 48, berkata, ekoran masalah itu penduduk berdepan kesulitan membawa keluar hasil hutan dan tanaman seperti petai, durian, ubi kayu dan pisang untuk dijual di pekan.

“Kami tiada pilihan, tanaman mesti dibawa keluar untuk dijual. Jadi saya harap ada pihak yang dapat membantu menyelesaikan masalah kami dengan menambah baik kemudahan asas di kawasan ini,” kata lelaki itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN