fbpx

Elak perbalahan, Don Daniyal direhatkan sementara – Suhaimi Sulaiman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUHAIMI mendakwa sudah memaklumkan sendiri keputusan 'membekukan' kemunculamn Don Daniyal dalam program Salam Baitullah.

PETALING JAYA – “Saya sudah maklumkan kepada tuan badan sendiri”.

Demikian respons Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman menegaskan tindakan merehatkan pendakwah bebas Don Daniyal daripada terus bersiaran dalam Salam Baitullah bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap program berkenaan.

Kata Suhaimi, 62, pendakwah terbabit juga sudah dimaklumkan bahawa langkah sedemikian diambil bagi mengelakkan perbalahan berpanjangan netizen dalam media sosial.

“Saya sudah maklumkan perkara ini pada tuan badan sendiri. Keputusan itu dibuat untuk meredakan keadaan memandangkan pelbagai pendapat dan perbahasan yang tidak perlu berlaku.

“Langkah itu juga sedikit sebanyak mengurangkan kontroversi yang mungkin mengganggu kelancaran perjalanan program Salam Baitullah.

“Saya kira kalau tiada sebarang tindakan diambil, perkara ini akan melarat sekali gus mencemarkan kredibiliti dan nama program itu sendiri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Tambah Suhaimi lagi, pendakwah tersebut hanya direhatkan sementara waktu sahaja dan akan kembali mengendalikan program tersebut jika dirasakan masih bersesuaian.

“Sebenarnya bukan Ustaz Don sahaja direhatkan, semua orang yang terlibat juga direhatkan sementara waktu.

“Keputusan untuk merehatkan dia buat sementara waktu untuk meredakan keadaan, jika sesuai kita kembalikan, jika sebaliknya, kita cari pengganti lain,” jelasnya.

Usaha Kosmo! Online untuk mendapatkan penjelasan daripada Ustaz Don sendiri tidak berjaya apabila dia mahupun pengurusnya gagal dihubungi dan pesanan mesej tidak dibalas.

Sebelum ini, Don Daniyal memberitahu dia tidak dimaklumkan mengenai keputusan dia direhatkan daripada terus mengendalikan program Salam Baitullah.

Pengurusnya iaitu Ana memberitahu pihaknya masih menanti arahan secara rasmi daripada pihak produksi sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu tersebut.

Terdahulu, nama Don atau Don Daniyal Don Biyajid, 40, menjadi sebutan ekoran berkongsi kisah percintaan pertama Nabi Muhammad SAW yang didakwa bersandarkan cerita dan hadis palsu.

Perkara itu mencetuskan kemarahan orang ramai selain menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada pendakwah bebas itu.

Don merupakan salah seorang pengacara Salam Baitullah yang digandingkan bersama Fakrul Razi daripada kumpulan UNIC.

Salam Baitullah merupakan rancangan tonggak RTM bersiaran setiap kali musim haji yang telah memasuki musim ke-16.

Rancangan ini juga menampilkan barisan panel pendakwah terkemuka tanahair, berkongsi pengalaman, tip dan juga panduan kepada bakal haji. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI