fbpx

Bancian OGSE kenal pasti cabaran industri minyak, gas Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Uzir (dua dari kiri) pada Majlis Pelancaran Bancian OGSE 2024 di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan kerjasama strategik Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC) dan Petronas menjalankan Bancian Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) kepada 3,582 pertubuhan bagi mengenal pasti cabaran dihadapi industri tersebut di Malaysia.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, bancian tersebut akan diadakan melalui dua fasa iaitu fasa pengumpulan data di lapangan dan fasa pemprosesan data.

“Gerak kerja pelaksanaan Banci OGSE 2024 ini melibatkan pengumpulan data dan operasi di lapangan yang akan bermula pada 6 Jun hingga September 2024.

“Fasa kedua merupakan tempoh prosesan data yang berakhir pada Oktober 2024. Pertubuhan yang terlibat dengan industri OGSE akan dihubungi oleh pejabat DOSM Negeri,” katanya pada ucapan Majlis Pelancaran Banci OGSE 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata, data 3,582 pertubuhan tersebut terdiri daripada 2,074 pertubuhan dalam sektor Perkhidmatan, 977 pertubuhan di sektor pembinaan, 274 pertubuhan di sektor perlombongan dan pengkuarian dan baki 257 pertubuhan adalah dalam sektor pembuatan.

“Jika dilihat kepada taburan mengikut negeri, Banci OGSE pada kali ini melibatkan kesemua negeri di Malaysia dengan lima negeri tertinggi adalah Selangor iaitu sebanyak 1,162 pertubuhan (32.4 peratus).

“Ia diikuti oleh Kuala Lumpur dengan 749 pertubuhan (20.9 peratus), Sarawak sebanyak 457 pertubuhan (12.8 peratus), Terengganu 456 pertubuhan (12.7 peratus) dan Johor dengan 213 pertubuhan (5.9 peratus),” ujarnya.

Mohd. Uzir berkata, pelaksanaan Bancian OGSE 2024 dijangka menunjukkan keberhasilan yang signifikan, malah hasilnya dapat digunakan untuk merancang program pembangunan terhadap industri OGSE Malaysia.

Katanya, data tersebut bukan sahaja dapat memperkukuhkan keupayaan syarikat tempatan dalam menyediakan rangkaian perkhidmatan dan peralatan kepada industri huluan minyak dan gas, malah mendorong kepada pembangunan industri OGSE yang lebih kompetitif di peringkat global.

“DOSM selaku pendokong utama dalam menyediakan perkhidmatan statistik negara sentiasa menyokong keperluan segenap lapisan pengguna dan pihak yang berkepentingan termasuk industri (OGSE) dengan menyediakan data dan statistik yang komprehensif dan granular.

“Oleh yang demikian, DOSM terus memainkan peranan utama dalam menyediakan statistik yang bermutu, berorientasikan pengguna, dan bertepatan masa untuk pembentukan dasar pembangunan dan pentadbiran negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI