fbpx
ROSSA bakal mengadakan konsert tidak lama lagi di Malaysia.

Dunia hiburan memang perlukan gimik – Rossa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KERAP menjadi juri bagi program realiti televisyen di Indonesia menjadi kelebihan Rossa kerana mampu menilai dan memahami sesebuah persembahan pentas dari sudut pandangan menyeluruh.

Kata pemilik nama lengkap Sri Rossa Roslaina Handayani yang kini menggalas tanggungjawab sebagai juri tetap The Hardest Singing Show (THSS), elemen gimik perlu ‘wujud’ dalam setiap persembahan.

Baginya, pentas program sebegitu merupakan platform terbaik untuk para penyanyi mempersembahkan kreativiti dan membuktikan kemampuan mereka untuk bergelar seorang penghibur.

THSS, gimik

“Dunia hiburan perlukan gimik dan pelbagai jenis kejutan sebegitu supaya industri terus meriah atau tidak membosankan.

“Gimik sebegini yang diperlukan atas nama seni dan pertandingan,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Pelantun lagu Ayat-Ayat Cinta itu juga berpendapat, orang ramai seharusnya meraikan sebarang idea hebat tanpa wujud rasa kebencian dalam diri.

Bahkan, kecaman mahupun sebarang kata-kata negatif tidak seharusnya dilemparkan netizen secara rambang terutama bagi program THSS yang kini menyorot perhatian ramai sejak belakangan ini.

“Kecaman? Dalam dunia hiburan, kita tak pernah memaksa orang untuk menyukai setiap yang dipersembahkan.

“Semuanya terpulang tetapi idea THSS ini bukan untuk membandingkan kehebatan mereka menyanyi sebaliknya, kreativiti dalam melakukan cabaran ketika membuat persembahan.

“Bagi saya, berseronok sahaja dengan semua idea baru yang dipertontonkan,” ujarnya.

Rossa tidak mempunyai perancangan untuk terjun dalam dunia politik pada waktu terdekat. – MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

Teruja berkongsi pengalamannya sebagai juri THSS, penyanyi berusia 46 tahun itu mengakui sangat mengagumi kehebatan barisan penyanyi yang menyertai program tersebut pada musim pertama ini.

“Saya setuju untuk menjadi juri kerana barisan penyanyi yang bertanding sangat hebat.

“Mereka sangat berani menerima cabaran dan lakukan di luar jangkaan. Bukan hanya menyanyi tetapi mereka menunjukkan kerja keras untuk melawan kebiasaan.

“THSS ini saya sifatkan sebagai luar biasa dan di Indonesia masih belum ada program sebegini. Jadi, saya memang teruja untuk menjadi juri,” jelasnya.

Sempat berseloroh, Rossa berkata, syukur dia hanya dipilih untuk duduk di kerusi juri kerana merasakan dirinya tidak berkemampuan untuk menyempurnakan tugasan mencabar seperti dilakukan peserta THSS setiap minggu.

“Pujian bukan sahaja harus diberi kepada para peserta tetapi juga seluruh kru produksi kerana sangat mementingkan faktor keselamatan.

“Ketika menonton persembahan mereka, terlintas dalam fikiran bahawa semua peserta ‘gila’.

Kata Rossa, elemen gimik merupakan perkara penting dalam kejayaan sesebuah acara atau persembahan seni.

“Untung saya hanya sebagai juri dan bukannya peserta. Saya sendiri tak mampu untuk melakukan semua aksi sebegitu, mungkin patah tulang,” katanya lagi sambil tertawa.

Adab

Terbuka mengulas mengenai isu seorang pempengaruh media sosial Indonesia yang tular baru-baru ini susulan beberapa isu, anak kelahiran Sumedang, Jawa Barat, dia itu berpendapat, golongan sebegitu dianggap tidak mempunyai rasa hormat.

“Golongan seperti ini sentiasa ada, ditambah pula sekarang zaman media sosial sehingga hilang rasa hormat kepada orang lain.

“Selaku pengguna media sosial, saya minta jika ada perkara begitu, adalah lebih baik sekat saja atau lapor kepada pihak berwajib,” tuturnya lagi.

Sebagai individu yang sudah menganggap Malaysia ibarat rumah kedua, dia memandang perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana boleh mengeruhkan hubungan baik antara dua negara.

“Perkara-perkara yang tidak baik sebegini yang akan mempengaruhi persahabatan dua negara dan seterusnya merosakkan hubungan yang sedia ada.

Rossa bakal bergandingan dengan Dayang Nurfaizah menerusi konsert Divas & Diamond 2024 yang bakal berlangsung 7 September depan.

“Sedangkan lebih banyak orang yang sukakan Malaysia. Banyak juga rakan-rakan saya yang datang ke sini untuk menikmati makanan dan pengalaman yang berbeza dari Indonesia,” jelasnya.

Politik

Sempat diusik mengapa tidak menceburkan diri dalam dunia politik seperti beberapa selebriti Indonesia lain, Rossa berkata, dia belum bersedia untuk ke arah itu.

“Sebenarnya banyak tawaran saya terima (daripada parti politik) tetapi saya belum berminat dan tiada kehendak untuk terjebak dalam kancah politik.

“Memang banyak menawarkan peluang itu, namun saya rasa belum boleh memikul peranan sebagai ahli politik sebab tanggungjawab itu sangat berat.

“Hidup saya berat, apa lagi nak ambil tahu kehidupan orang lain,” katanya menutup Rossa seraya menggulung perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN