fbpx

Pemilik kenderaan diesel persendirian, petani kecil, pekebun boleh mohon Budi Madani esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak termasuk petani kecil dan pekebun kecil boleh membuat permohonan Program Bantuan Subsidi Madani atau Budi Madani bermula esok.

Kementerian Kewangan dalam kenyataannya memaklumkan, pemilik kenderaan diesel persendirian berdasarkan kriteria kelayakan tertentu boleh membuat permohonan di bawah kategori Budi Individu, manakala petani kecil dan pekebun kecil boleh memohon di bawah kategori Budi Agri-Komoditi.

“Penerima yang layak di bawah kedua-dua kategori akan disalurkan Budi Madani sebanyak RM200 sebulan seiring dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

“Pelaksanaan ini susulan kenyataan Perutusan Negara oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu lalu berhubung keputusan Jemaah Menteri untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia,” menurut kenyataan itu hari ini.

Dalam pada itu, permohonan boleh dibuat secara dalam talian di laman web https://budimadani.gov.my yang akan dibuka sepanjang tahun.

Bagi permohonan yang dibuat dan diluluskan sebelum 3 Jun 2024, pemohon akan menerima Budi Madani pertama mereka menjelang pertengahan Jun 2024, dan bantuan seterusnya akan disalurkan secara bulanan.

Untuk permohonan yang diluluskan selepas 3 Jun 2024 akan menerima Budi Madani pertama dalam tempoh dua minggu dan seterusnya secara bulanan.

Budi Madani akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima setiap bulan, manakala penerima tanpa akaun bank boleh menuntut Budi Madani secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh Semenanjung Malaysia.

Untuk memohon dan mengetahui lebih lanjut berhubung syarat-syarat kelayakan Budi Madani, sila layari https://budimadani.gov.my atau boleh menghubungi talian bantuan Budi Madani di nombor 1-800-88-2747 / 03-8882 4565 / 03-8882 4566 atau secara e-mel di alamat [email protected].

Pertanyaan dan maklumat lanjut juga boleh diperolehi di semua pejabat LHDNM seluruh Semenanjung Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI