fbpx
ABDUL GAFOOR ketika menjalankan pembedahan bariatrik di Hospital Island Pulau Pinang baru-baru ini.

Kegilaan bedah bariatrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Masalah kegemukan yang dihadapi sebahagian rakyat dewasa ketika ini menyebabkan ramai yang mencari penyelesaian alternatif iaitu menerusi pembedahan bariatrik.

Pembedahan bariatrik adalah pembedahan yang membantu seseorang menurunkan berat badan dengan membuat perubahan kepada sistem pencernaan sama ada dengan mengecilkan perut ataupun memintas sebahagian daripada usus kecil.

Pakar Bedah Bariatrik Hospital Island Pulau Pinang, Dr. Abdul Gafoor Abdul Mubarak berkata, trend obesiti atau gemuk dalam kalangan golongan muda memang merisaukan terutama mereka yang berusia antara 30 hingga 35 tahun.

Malah katanya, terdapat ibu bapa yang datang kepadanya untuk mendapatkan konsultasi pembedahan bariatrik buat anak-anak mereka seawal usia 14 hingga 18 tahun yang sudah me­ngalami masalah kegemukan yang serius.

Abdul Gafoor

“Apabila ibu bapa datang bawa anak-anak mereka yang masih kecil, kita tak dapat nak lakukan pembedahan bariatrik kerana pemilihan pesakit adalah 18 tahun ke atas sahaja. Ibu bapa perlu betul-betul faham kesan pembedahan adalah kekal se­umur hidup.

“Saya boleh katakan, pesakit obesiti yang datang pada saya untuk membuat pembedahan bariatrik adalah meningkat 100 peratus. Pada tahun 2021 terdapat 150 pembedahan setahun, tahun 2022 (220 pembedahan), tahun lepas sebanyak 400 pembedahan, manakala tahun ini kita jangka sehingga 550 pembedahan bariatrik setahun.

“Masalah obesiti adalah isu yang serius dalam masyarakat kerana jika tidak dibendung dalam jangka masa terdekat, negara akan menanggung beban kos kesihatan yang tinggi untuk menguruskan pesakit obesiti.

“Ramai antara mereka menghidap penyakit kronik se­perti diabetes, sakit jantung, darah tinggi dan gout,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Abdul Gafoor yang lebih po­pular dikenali dengan nama Dr. G di TikTok berkata, hanya 15 peratus individu berjaya kurus dalam masa setahun, manakala 10 peratus daripadanya kekal kurus selepas dua tahun.

Katanya, peluang seseorang individu untuk gagal dalam menguruskan badan adalah sangat tinggi, sekali gus menjadikan genetik seterusnya dalam keluarga juga cenderung untuk menjadi gemuk.

Kosmo! sebelum ini melapor­kan, lebih separuh daripada rakyat dewasa di negara ini mengalami masalah obesiti atau gemuk apabila sebanyak 54.4 peratus atau 12.8 juta daripada 23.6 juta orang dewasa mengalami berat badan berlebihan tahun lalu.

Menerusi poster yang dikongsikan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Bahagian Pemakanan di platform media sosialnya semalam, trend berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan dewasa mening­kat lebih tiga peratus setiap tahun dari 2011 hingga 2023.

Sementara itu, data terkini The The World Factbook – Central­ Intellange Agencie dari 2016 hingga 2024 pula mendedahkan, Malaysia muncul sebagai negara kedua di Asia Tenggara yang mempunyai ramai rakyat gemuk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN