fbpx

Hak peminjam kredit komuniti terjamin, elak pinjam along

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kor Ming (tengah) pada Majlis Pra-Pelancaran Anugerah Kredit Madani di Hotel Berjaya Times Square, hari ini. Foto AMIR KHALID KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi jaminan hak semua peminjam syarikat kredit komuniti merangkumi pemberi pinjam wang (PPW) dan pemegang pajak gadai (PPG) adalah terjamin.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, hanya syarikat PPW dan PPG yang melepasi tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) layak dipertimbangkan untuk diberikan lesen.

Katanya, syarikat berkenaan juga wajib menghantar laporan transaksi kepada bahagian kredit komuniti di bawah KPKT.

“Saya memohon rakyat Malaysia, sekiranya memerlukan pinjaman, kita mempunyai saluran yang sah ataupun ‘halal’. Jangan pinjam dari along.

“Along merupakan aktiviti haram yang tidak tertakluk kepada undang-undang. Sebaliknya peminjam daripada PPW dan PPG, hak mereka dijamin oleh akta pinjam wang dan pajak gadai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pra-Pelancaran Anugerah Kredit Madani di Hotel Berjaya Times Square, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, terdapat 4,415 PPW dan 881 PPG berlesen direkodkan sehingga kini dengan anggaran nilai pasaran mencecah RM24.8 bilion bagi 2023.

“Sebanyak 62 peratus daripada keseluruhan nilai pasaran yang dikeluarkan PPW adalah kepada peminjam korporat manakala baki 38 peratus kepada peminjam individu.

“Ini adalah bercanggah dengan persepsi umum seolah PPW memberi pinjaman kepada mikro tapi sebenarnya, hampir dua per tiga peminjam daripada syarikat,” ujarnya.

Pada masa sama, tambahnya, Anugerah Kredit Madani yang julung kali diadakan bertujuan memberi pengiktirafan kepada syarikat PPW dan PPG atas usaha memastikan kepatuhan terhadap akta dan peraturan.

Ia merupakan anjuran KPKT dengan kerjasama Persatuan-Persatuan PPW dan Persatuan Tuan Punya PPG yang dijadualkan berlangsung pada 15 November.

Sebanyak tujuh kategori dipertandingkan untuk PPW dan PPG dengan tawaran hadiah wang tunai bernilai RM20,000 berserta sijil dan trofi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI