fbpx

Lesen My Jet dibatalkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
My Jet dilarang melalui udara atau menggunakan mana-mana pesawat untuk membawa mel atau kargo sama ada bagi laluan domestik atau antarabangsa. -Gambar hiasan

PETALING JAYA – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) telah membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) bagi syarikat penerbangan kargo berjadual My Jet Xpress Airlines Sdn. Bhd. (My Jet). 

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, keputusan ini dibuat berkuat kuasa mulai 2 Mei lalu ekoran pembatalan Perakuan Pengendali Udara (AOC) No. 40 My Jet oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Menurut beliau, pembatalan ASL ini dibuat menurut subseksyen 43(3) Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771]. Akta 771 menggariskan bahawa sekiranya pemegang ASL terhenti daripada memegang AOC yang sah, ASL yang dikeluarkan oleh Mavcom hendaklah disifatkan telah dibatalkan berkuat kuasa mulai tarikh pemegang ASL terhenti daripada memegang AOC.

“Dengan pembatalan ASL ini, My Jet dilarang bagi membawa melalui udara atau menggunakan mana-mana pesawat bagi membawa mel atau kargo untuk sewa atau upah dalam perjalanan berjadual atau tidak berjadual sama ada bagi laluan domestik atau antarabangsa. 

“Jika syarikat penerbangan tersebut menjalankan perkhidmatan sedemikian, ia merupakan suatu kesalahan di bawah Akta 771,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Saripuddin menerangkan, proses penilaian Mavcom amat teliti yang mana pihaknya telah  menilai dan menyemak semua permohonan lesen atau permit berdasarkan kriteria tertentu.

“Kami berusaha untuk memastikan hanya syarikat-syarikat yang memenuhi kriteria dan keperluan tersebut dibenarkan beroperasi,” ujarnya.

Pada 9 September 2021, Mavcom telah meluluskan pembaharuan ASL My Jet selama 48 bulan dari 1 Oktober 2021 hingga 30 September 2025. 

ASL ini telah ditetapkan dengan syarat-syarat tertentu oleh Suruhanjaya yang perlu dipatuhi oleh syarikat penerbangan tersebut.

Pada 5 Julai 2023, Suruhanjaya telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada My Jet mengenai ketidakpatuhan syarikat penerbangan tersebut terhadap syarat-syarat yang telah ditetapkan kepada ASL.

Suruhanjaya itu mengambil tindakan selanjutnya pada 1 November 2023 dengan penggantungan ASL My Jet bagi tempoh enam bulan berkuat kuasa serta-merta sehingga 30 April 2024.

My Jet, yang sebelum ini dikenali sebagai Neptune Air, telah ditubuhkan pada tahun 1970 sebagai syarikat penerbangan kargo yang berpangkalan di Kuala Lumpur. 

Beroperasi dari pangkalan utamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa KL, My Jet menawarkan perkhidmatan kargo, serta pajakan basah dan pajakan kering pesawat kargo.

Pada tahun 2018, Neptune Air telah distruktur semula sebagai My Jet Xpress Airlines.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI