JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 56,520 liter minyak diesel berjumlah RM121,518 susulan serbuan di sebuah stor di sekitar Bukit Pasir, Muar, semalam.
Pengarah KPDN Negeri Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, serbuan yang dilakukan pada pukul 4.30 petang itu turut menahan dua pemandu lori dan penjaga stor berusia lingkungan 20-an bagi membantu siasatan.
Katanya, ketika serbuan, stor tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen seperti lesen serta permit bagi memiliki, menyimpan dan membawa barang kawalan diesel.
“Serbuan yang dilakukan oleh tiga Pegawai Penguatkuasa KPDN Cawangan Muar merampas 56,520 liter minyak diesel, 20 tangki penyimpanan dan alat pemindahan minyak diesel, sebuah lori, sebuah treler, dan tujuh unit kunci lori dan treler.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah sehingga RM375,518,” katanya kepada pemberita hari ini. -KOSMO! ONLINE