fbpx
Lebih dua dekad berbakti atas nama seni, d’Masiv akan terus setia mengibarkan panji muzik, dan akan menjadi kerugian besar sekiranya mereka berpecah dan membawa haluan masing-masing.

‘d’Masiv tidak sekadar band tetapi rumah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LEBIH dua dasawarsa membina nama sebagai kugiran muzik, banyak pahit manis telah dijalani pemuzik bernama d’Masiv yang setia dianggotai lima lelaki.

Lima lelaki yang dimaksudkan ialah Rian Ekky Pradipta selaku vokalis, Dwiki Aditya Marsall (gitaris), Nurul Damar Ramadan (gitaris), Rayyi Kurniawan Iskandar Dinata (bass), Wahyu Piadji (drum) dan Vegry Harindah Husain (keyboard).

Kekal relevan sehingga ke saat ini, perkara paling diterapkan dalam diri setiap anggota kumpulan adalah persefahaman.

Tanpa nilai tersebut, masakan mungkin mereka bertahan hingga ke detik ini, sedangkan ramai rakan sezaman ada yang sudah berpecah dan tidak lagi melihat muzik sebagai cinta utama.

Kenang Rian, memori mereka berkongsi sebungkus nasi berlima sewaktu awal kemunculan suatu ketika dahulu masih berbekas, selain ‘gaji’ pertama yang hanya bernilai 150,000 rupiah (RM40).

MEWAKILI d’Masiv, Rian bukan sahaja menganggap kumpulan itu sebagai sebuah band muzik, bahkan menjadi rumah buat setiap ahli.

Kerja keras

“Satu bungkus nasi pernah dibahagi lima saat mula berjuang. Alhamdulillah, sampai ke saat ini, duit gaji kami masih lima, orang yang sama.

“Itu yang buat kami terapkan dalam minda, kalau kami bubar, ramai sekali orang yang akan kecewa.

“d’Masiv bukan hanya sebuah band tetapi sebuah rumah. Ramai juga orang yang tergantung hidup dengan jenama band ini,” kata Rian kepada HibGlam.

Ditanya resipi kekal bersama sehingga ke hari ini, Rian berkata, mereka berlima setia mengadakan perjumpaan setiap minggu dan ada checklist impian yang mereka ingin gapai dalam bentuk tulisan.

“Selalu ada mimpi-mimpi yang kita tulis dan bertanda. Sejak 2003 kita selalu sudah tulis mimpi-mimpi kita.

“Alhamdulillah, sudah kita ‘checklist’ banyak juga.

“Contoh kita berjaya buat rakaman di Abbey Road Studios. Memang sudah lama pasang mimpi itu. Kemudian kita dapat buat persembahan di Times Square.

“Kami sentiasa menganggap diri kami band yang baharu. Kalau di studio rakaman, kami umpamanya anak-anak kecil yang gembira dapat lakukan pekerjaan yang kami suka,” jelas Rian lagi.

MERIAH. Kumpulan d’Masiv baru-baru ini mengadakan sidang media pengumuman konsert Amazing Concert: D’Masiv G KLau yang bakal dipersembahkan di Kuala Lumpur, Jun nanti.

Konsert di Malaysia

Bakal bertandang ke Kuala Lumpur untuk konsert Amazing Concert: D’Masiv & Mario G KLau tanggal 29 Jun depan di Megastar Arena Kuala Lumpur, d’Masiv menjanjikan persembahan terbaik buat peminat di Malaysia.

Kata Rian lagi, mereka sangat teruja dapat bekerjasama dengan Mario G Klau yang disifatkan sebagai pemuzik hebat.

“Perbezaan untuk konsert kali ini, pemilihan lagu pasti akan lebih banyak berbanding konsert-konsert sebelum ini.

“Selalu menjadi satu perihal yang istimewa setiap kali buat konsert di sana.

“Istimewa juga, waktu konsert nanti kami akan menyanyikan lagu-lagu daripada album terbaharu berjudul 8.

“Berkongsi pentas dengan Mario juga adalah satu penghargaan kerana dia adalah susuk penyanyi baharu yang sangat luar biasa.

“Dia juga komposer yang tahu niche atau bidangnya,” terangnya.

SEJAK penubuhan 20 tahun lalu, d’Masiv kini masih dianggotai lima anggota asal.
– JPP Entertainment & Creative Page MY

Sheila Majid, album baharu

Pada sidang media yang diadakan di S&F Residence, d’Masiv sempat menyanyikan secara eksklusif lagu baharunya berjudul Sampai Mati Kan Ku Kejar yang akan dimuatkan dalam diskografi berjudul 8 nanti.

Lebih 20 tahun berkecimpung dalam dunia muzik, tiada apa yang ingin dikejarkan d’Masiv selain menghiburkan para peminat selagi nyawa dikandung badan.

Di mata mereka, ramai susuk yang dijadikan idola di Malaysia. Ketika ditanya siapa antara penyanyi negara ini yang ingin sekali mereka menjalin kolaborasi, Rian jadi bingung dek terlalu ramai pemuzik hebat di sini.

“Aduh, susah sangat soalan ini. Kalau boleh kita namakan semua, kita namakan. Muzik Indonesia dan Malaysia serumpun.

“Sudah tentu pemuzik-pemuzik Malaysia banyak memberi inspirasi untuk band seperti kami terus mencipta karya bermutu hari demi hari.

“Tapi, kalau tanya tentang dream collaboration (orang yang ingin kami kerjasama), jawapan kepada soalan itu adalah Sheila Majid,” katanya.

Ketua Pengarah JPP Entertainment, Muhammad Yusqi Hamdan.

Berbicara lanjut tentang album terbaharu yang bakal dilancarkan sedikit hari sahaja lagi, Rian berkata, karya itu nanti terkandung banyak nilai yang mematangkan d’Masiv hingga ke saat ini.

“Ramai yang hanya nak keluar single zaman sekarang, namun d’Masiv tetap nak hadirkan album fizikal sebab kami nak simpan semua memori muzik dalam bentuk cakera padat.

“Album 8 nanti temanya bukan hanya tentang cinta, tetapi ada kehidupan. Ada judul yang sangat panjang kerana kami rasa itu adalah judul paling tepat untuk lagu tersebut.

“Tiada kolaborasi untuk album kali ini kerana kami ingin membawa peminat ke era pertama kali kami bikin album yang memang tiada kolaborasi langsung,” ujarnya lagi.

Tiket konsert Amazing Concert: D’Masiv & Mario G KLau boleh didapati menerusi laman sesawang, https://www.ticket2u.com.my/event/35211/amazing-concert-dmasiv-mario-g-klau.

MEnJANJIKAN sebuah persembahan terbaik untuk konsert di KL, Jun nanti, d’ Masiv juga bakal mendendangkan lagu-lagu daripada album terbaharu mereka berjudul 8.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN