fbpx

Lori bawa serpihan besi berterabur di LPT1 dikesan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA serpihan besi yang jatuh di LPT1 dan menyebabkan kejadian tayar kenderaan pancit di Bentong baru-baru ini.

BENTONG – Persoalan mengenai kewujudan besi di Lebuh raya Pantai Timur (LPT1) yang menyebabkan banyak tayar kenderaan pancit akhirnya terjawab apabila polis mengenal pasti serpihan besi berkenaan jatuh daripada sebuah treler membawa muatan besi skrap.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, pihak polis berjaya mengesan treler berkenaan yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun.

“Hasil siasatan polis mendapati pada 29 April lalu sebuah lori treler membawa muatan besi skrap dari Balakong, Selangor menuju ke Gebeng, Kuantan dipercayai menyebabkan beberapa serpihan besi skrap jatuh ke atas jalan.

“Pemandu lori treler berkenaan telah dihubungi untuk hadir ke pejabat trafik Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong untuk membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.

Kelmarin Kosmo! melaporkan kejadian kebocoran tayar kenderaan akibat terlanggar serpihan besi di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) telah menggemparkan pengguna lebuh raya berkenaan dan juga penduduk setempat.

Difahamkan kejadian berkenaan melibatkan tiga daerah laluan LPT1 iaitu Bentong, Temerloh dan Maran yang melibatkan lebih 100 buah buah kenderaan yang tersadai di tepi lebuh raya utama ke pantai timur itu.

Menurut Zaiham, setakat ini polis menerima menerima dua laporan berkaitan kes tersebut iaitu daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun dan seorang pegawai peronda lebuh raya berusia 44 tahun.

Katanya, berdasarkan semakan terdapat kira-kira 30 kenderaan pelbagai jenis telah membuat aduan tayar pancit kepada talian ‘hotline’ LPT1.

Dalam pada itu, beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Rule 19 LN 166/59 dan siasatan giat dilakukan.

Katanya, berdasarkan siasatan tiada sebarang kecederaan kepada pemandu atau penumpang kenderaan yang mengalami tayar pancit akibat melanggar serpihan besi berkenaan.

“Pihak polis memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.

“Polis juga menasihatkan semua pemilik kenderaan agar membawa muatan mengikut had dan juga memastikan muatan tersebut tidak membahayakan pengguna jalan raya lain,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI