fbpx

Bundesliga: Petisyen tak ganggu fokus Tuchel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TUCHEL berpeluang untuk terus mengemudi Bayern musim depan selepas peminat Bayern melancarkan petisyen untuk mengekalkannya musim depan. - AFP

MUNICH – Jurulatih Bayern Munich, Thomas Tuchel menegaskan, beliau langsung tidak terganggu dengan tindakan penyokong yang melakukan petisyen supaya khidmatnya terus dikekalkan pada musim hadapan.

Difahamkan, petisyen untuk mengekalkan Tuchel sudah mendapat lebih 14,000 tandatangan sejak ia mula dilancarkan Selasa lalu, sekali gus membuktikan bahawa beliau masih disenangi para penyokong.

Tuchel berkata, meskipun perkembangan tersebut merupakan sesuatu yang positif buat dirinya, namun bekas pengendali Chelsea itu hanya mahu memberikan fokus terhadap baki saingan musim ini.

“Walaupun perkara ini sesuatu yang bagus untuk saya kerana penyokong mahu saya kekal di sini, tetapi ia tidak menjadi keutamaan. Kami ada perlawanan yang sangat penting untuk diharungi selepas ini.

“Dalam tempoh 11 hari ini, saya hanya mahu fikirkan mengenai bola sepak. Walaupun ada banyak isu sekeliling saya, sama ada positif ataupun tidak, saya tidak akan benarkan ia mempengaruhi minda,” katanya.

Terdahulu, Bayern dan Tuchel sudah mencapai kata sepakat untuk berpisah secara baik pada penghujung musim ini dengan bekas pengurus Manchester United, Ralf Rangnick disebut-sebut bakal mengambil alih tugas tersebut.

Sebelum ini, kredibiliti Tuchel dipersoalkan apabila Bayern terlepas gelaran Bundesliga kepada Bayer Leverkusen, namun prestasi The Bavarians kembali meningkat apabila berjaya menyingkirkan Arsenal pada suku akhir Liga Juara-Juara. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI