fbpx

Jun Hao sedia ‘berguru’ dengan Zii Jia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JUN HAO akan mendapatkan nasihat daripada Zii Jia sebelum turun bertemu Ka Long pada Sabtu ini.

PERSEORANGAN lelaki negara, Leong Jun Hao sedia ‘mencuri’ ilmu pemain profesional, Lee Zii Jia menjelang aksi sulung kejohanan badminton Piala Thomas 2024 menentang Hong Kong di Chengdu, China pada Sabtu ini.

Jun Hao bakal mengisi kekosongan ditinggalkan Ng Tze Yong selaku perseorangan kedua dan hampir pasti turun bertemu pemain berpengalaman Hong Kong, Ng Ka Long yang menghuni ranking ke-26 dunia ketika ini.

Memandangkan tidak pernah bertemu Ka Long, Jun Hao sedia mendapatkan nasihat Zii Jia yang pernah mencatat tiga kemenangan ke atas pemain berusia 30 tahun itu dalam tujuh pertemuan sebelum ini.

Pengalaman dimiliki Zii Jia cukup penting bagi membantu Jun Hao untuk merencana strategi terbaik bagi menumbangkan Ka Long, seterusnya menyumbang mata buat negara.

“Saya belum berkesempatan lagi bercakap dengan Zii Jia mengenai perkara ini, tetapi apabila dia menyertai pasukan nanti, sudah tentu saya akan bertanya kepadanya. Mungkin dia boleh bantu saya.

“Saya juga akan bincang dengan jurulatih dan buat analisis mengenai corak permainan Ka Long. Saya akan buat persiapan terbaik dan sudah tentu matlamatnya adalah membantu pasukan mengutip mata,” kata bekas juara remaja Asia itu.

Zii Jia tidak menyertai kem latihan pusat yang bermula sejak minggu lalu di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara kerana memiliki program latihan tersendiri bersama jurulatihnya, Wong Tat Meng.

Selain Ka Long, Jun Hao juga perlu berada dalam keadaan terbaik memandangkan dia juga dijangka membuat perhitungan dengan pemain No.3 dunia, Anders Antonsen pada aksi terakhir Kumpulan D menentang Denmark, 30 April nanti.

Sementara itu, Jun Hao turut menganggap skuad negara yang dibawa kali ini memiliki kekuatan cukup seimbang dan tidak mustahil mampu menamatkan kemarau kejuaraan sejak kali terakhir memenanginya pada 1992.

‘Pasukan kali ini lebih seimbang kerana kita dibarisi beberapa pemain yang pernah bermain di Piala Thomas selain berpengalaman. Kami hanya perlu tampilkan prestasi terbaik dalam setiap perlawanan nanti,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI