fbpx

Permohonan Titah Adendum Najib perlu diputus segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Bashah (kanan) pada sidang akhbar di Bangunan Tunku, Alor Setar, hari ini.

ALOR SETAR – Permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 mengenai kebenaran melaksanakan baki hukuman penjara enam tahun menerusi tahanan rumah perlu diputuskan segera oleh pihak mahkamah.

Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, keputusan berhubung permohonan itu perlu dibuat secara adil dan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Katanya, perkara tersebut perlu diberi keutamaan serta penjelasan penuh oleh pihak kerajaan agar tidak mencemarkan imej dan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang memiliki hak prerogatif baginda sebagaimana diperuntukkan menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru itu, UMNO Bahagian Alor Setar ingin menegaskan bahawa isu ini perlu diselesaikan segera oleh pihak berkenaan agar urus tadbir dan tatakelola kerajaan selari perlembagaan,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Kata beliau, keputusan mahkamah itu juga perlu disegerakan supaya keadilan sebenar buat Najib dapat ditegakkan sebaik mungkin.

Beliau pada masa sama berkata, UMNO Bahagian Alor Setar memberi sokongan penuh terhadap tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memfailkan afidavit tambahan berhubung Titah Adendum itu.

Sebelum ini, dalam afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April lalu, Timbalan Perdana itu berkata, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, oleh Tengku Zafrul ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO berkenaan di Country Heights pada 30 Januari lalu.

Titah Adendum itu supaya Najib menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dilaporkan berkata, Tengku Zafrul menunjukkan kepadanya salinan Titah Adendum itu pada telefonnya yang diambil gambar dan diimbas sendiri daripada salinan asal seperti ditunjukkan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 .

Mahkamah Tinggi menetapkan 5 Jun ini untuk keputusan permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya beliau menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI