fbpx
BERTAHUN-tahun berkalung gelaran penyanyi ‘sendu’, Nadeera kini mampu menghela nafas lega apabila bakat dan kemampuan nyanyiannya semakin dihargai. Setiap hari, jadualnya tidak pernah kosong tanpa tawaran persembahan.

Nadeera buang sendu, ‘pulun’ habis-habisan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LEBIH sedekad berkelana dalam industri seni hiburan tanah air dengan melakukan pelbagai usaha, boleh dikatakan nama Nadeera belum lagi gah seperti penyanyi seperjuangan, namun kerja kerasnya layak dipuji.

Terus mengorak langkah dan enggan menunggu lama, lagu demi lagu dihasilkan agar namanya relevan menjadj sebutan.

Tanpa jutaan peminat dalam Instagram, namun berbekalkan kualiti vokal, wanita kecil molek itu berjaya mengumpul kelompok peminat sendiri.

Bertahun-tahun berkalung gelaran penyanyi ‘sendu’, Nadeera atau Farah Nadeera Zaini kini mampu menarik nafas lega dengan perkembangan kerjayanya selepas menjuarai program realiti Big Stage musim kelima.

TIDAK hanya menyajikan vokal semata-mata, Nadeera berjanji bakal meletakkan rasa dan jiwa dalam setiap lagu yang akan dimuatkan dalam album mininya nanti. – SYAKIR RADIN / INSTAGRAM NADEERA

Rezeki mencurah, dikenali

Ujar penyanyi berusia 31 tahun itu, jadualnya kini tidak lagi seperti dahulu apabila banyak menerima tawaran menyanyi untuk majlis korporat mahupun sebagai penyanyi jemputan konsert artis dalam dan luar negara.

“Tiada kata selain syukur bakat saya kini dihargai. Kalau dahulu, susah sangat nak dapat tawaran menyanyi.

“Saya menyanyi pun setakat di ‘lounge’ hotel atau di kelab untuk mencari sumber pendapatan.

“Kini kehidupan saya berubah. Selepas bergelar juara Big Stage 5, hampir setiap bulan saya terima tawaran menyanyi, ada saja jemputan sana sini.

“Sebagai insan seni yang memang minat menyanyi, momen ini memang sudah saya nantikan bertahun lamanya. Alhamdulillah berkat kerja keras, rezeki sentiasa ada untuk saya dalam bidang ini,” katanya kepada HibGlam.

Tidak hanya itu, Nadeera mengakui buat pertama kali, jadual Ramadan dan Syawal terisi dengan pelbagai jemputan dan tawaran.

“Puasa dan raya tahun ini berbeza juga, kalau dahulu memang jadual seni saya tidak padat, sekarang syukur dah mula banyak.

“Saya akan ambil apa sahaja tawaran yang disua selagi saya boleh buat, lagipun bukan setiap masa orang nak bagi peluang, masa ada ini kita pulun habis-habisan.

“Insya-Allah, dengan semangat dan bakat, saya akan buat sehabis baik sebab ini memang minat saya daripada kecil. Walaupun lambat sikit orang kenal, tetapi indah pada waktunya,” katanya tersenyum.

Mengambil peluang selain enggan membuang masa, pelantun lagu Emas itu tidak menunggu lama untuk menghasilkan album mini.

GRAF karier mencanak naik selepas menjuarai Big Stage musim kelima, Nadeera bersyukur bakat seninya kian dihargai selain disua pelbagai tawaran dan jemputan nyanyian baik dari dalam mahupun luar negara.

Album mini

Kendatipun mengakui berdepan kekangan kewangan, perkara tersebut tidak menjadi batu penghalang buat penyanyi bersuara lantang itu menghasilkan album yang dijangka dipasarkan sekitar tahun ini.

“Saya bukannya muda lagi dan pastinya saya tak mahu berada di takuk lama, jadi saya kini dalam proses untuk terbitkan album mini merangkumi lima lagu.

“Kesemua lagu dalam album mini nanti ditulis dan dihasilkan saya sendiri bersama dua rakan lagi. Belum ada tarikh yang ditetapkan untuk memasarkannya tapi insya-Allah sekitar tahun ini.

“Kos pembikinan memang besar apatah lagi saya penyanyi baharu, memang belum mampu untuk belanja sendiri.

“Tapi saya sedang berusaha mendapatkan bantuan tajaan jika ada yang sudi,” tuturnya panjang lebar.
Tambah Nadeera, buah tangan sulungnya itu nanti adalah eksperimentasi yang menonjolkan sisi berbeza dirinya sebagai penyanyi.

“Saya tetap memilih lagu balada untuk dipertaruhkan. Cumanya, kali ini lebih bersifat ‘easy listening’.

“Selain sajian vokal dinamik, saya mahu peminat dapat menikmati ‘rasa’ pada setiap lagu yang dimuatkan dalam album itu nanti,” kongsinya teruja.

Enggan terlalu larut dalam topik karier dan album mini, penulis sempat bertanyakan wanita kelahiran Mersing, Johor itu mengenai sambutan Aidilfitrinya tahun ini.

TAHUN In. Nadeera benar-benar menikmati apabila usaha kerasnya menempatkan diri sebagai seorang penyanyi mula diyakini khalayak dan peminat.

Raya sederhana

Mengakui teruja menyambut lebaran, anak bongsu daripada dua beradik itu memberitahu, Syawal kali ini disambut meriah di kampung ibunya di Kota Bharu, Kelantan.

Lebih mengujakan, Aidilfitri tahun ini disambut dengan penuh makna dengan majlis perkahwinan sepupu terdekatnya.

“Kali ini memang teruja sebab balik kampung belah mak di Kota Bharu. Dalam dua tahun juga tak balik ke Kelantan, tahun lepas saya beraya di Johor.

“Persiapan pula untuk kali ini saya bersederhana sahaja macam tahun-tahun lepas juga, asalkan keluarga tercinta ada di sisi, itu sudah lebih daripada cukup.

“Yang paling saya teruja adalah sepupu saya berkahwin pada raya keempat. Jadi semua saudara-mara akan balik. Saya rasa tahun ini sambutannya agak meriah di kampung,” jelasnya.

Sambil menyelam minum air, Nadeera juga sempat mengadakan majlis kesyukuran di kampung halaman sempena kejayaannya merangkul gelaran juara Big Stage musim kelima.

“Saya buat majlis kesyukuran sempena meraikan kemenangan Big Stage tempoh hari.

“Alang-alang jumpa ramai ahli keluarga di Kelantan, saya buat sekali harung sahaja,” dedahnya seraya menutup bicara.

NADEERA juga sempat bertemu peminat semasa satu majlis kesyukuran yang diadakan semasa pulang beraya di rumah keluarga ibunya di Kelantan tempoh hari.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN