fbpx

Bunuh anak tiri: Boy Tiger dijel 35 tahun, 12 sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

PUTRAJAYA – Seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Boy Tiger’ terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini menggantikannya dengan hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan kerana membunuh anak tiri lelakinya berusia tiga tahun pada 2018.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Khairul Izaini Khairuddin, 37, selaku perayu terhadap hukuman.

Ketika membacakan alasan penghakiman ringkas, Hakim Ahmad Zaidi berkata, mahkamah menolak pembelaan perayu bahawa dia tidak waras ketika kejadian.

Ini kerana berpendapat, perayu mengetahui perbuatan terhadap anak tirinya apabila dia berhenti membelasah mangsa selepas menyedari kepalanya berdarah manakala badannya terkulai dan tidak bermaya sebelum membawanya ke klinik.

Fakta turut menyebut, perayu bersama-sama isteri (saksi pendakwaan ke-14) kemudian membawanya ke sebuah klinik dan doktor yang memeriksanya mendapati kanak-kanak itu sudah tidak bernyawa manakala pasangan itu berbohong mangsa terjatuh di bilik air.

“Pada hemat kami, tindak tanduk dan kelakuan tertuduh adalah bertentangan dengan perangai orang yang tidak waras sebaliknya ia konsisten dengan perbuatan individu waras yang sedar dengan keadaan persekitarannya.

“Jika tidak waras dan tidak peka dengan apa yang berlaku, mengapa berhenti daripada terus membelasah dan kenapa pula perlu membawa ke klinik? Hanya seseorang yang waras akan mengetahui mangsa mengalami kecederaan dan perlu dirawat.

“Jika dia tidak waras, dia tidak akan tahu bahawa hospital atau klinik adalah tempat untuk mendapatkan rawatan. Tindakanya berbohong juga jelas menunjukkan dia cuba menyembunyikan perbuatannya kerana mengetahui ia salah di sisi undang-undang,” ujar Hakim Ahmad Zaidi.

Sementara dalam pembelaannya, perayu berkata dia pernah menjalani rawatan sakit mental secara berulang dan diberi ubat selain mendakwa akan menjadi tidak waras jika tidak mengambilnya.

Panel itu turut bersetuju terhadap dapatan hakim bicara yang menolak pembelaan melalui keterangan ahli keluarga berhubung tahap mental tertuduh yang disifatkan sebagai saksi berkepentingan.

Mahkamah sebaliknya menerima keterangan saksi pakar bahawa hasil pemeriksaannya mendapati semasa kejadian perayu sedar dan mengetahui perbuatannya terhadap mangsa.

Mahkamah berpuas hati wujud keterangan melimpah ruah dan saksi-saksi pendakwaan yang mantap dan tidak tergugat menjadikan tidak wajar bagi panel itu untuk mengusik keputusan hakim bicara.

Khairul Izaini disabitkan membunuh Muhammad Qairil Aqmal berusia tiga tahun empat bulan (ketika kejadian) di ruang tamu di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Indah, Ampang kira-kira pukul 11 pagi pada 8 November 2018.

Punca kematian adalah akibat kecederaan di kepala selain mengalami luka dalaman iaitu koyakan pada pankreas dan keretakan serta pecah tulang tengkorak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI