fbpx

Belum masa Presiden FAM berundur – Kim Swee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamidin serta pucuk pimpinan FAM telah dilemparkan kritikan hebat menerusi surat layang yang tular awal bulan ini. - Foto oleh Fariz Rusadio

PETALING JAYA – Merombak pucuk pimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susulan penularan isu surat layang bukanlah jalan penyelesaian terbaik untuk bola sepak Malaysia selain boleh dianggap tindakan kurang wajar.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), Datuk Ong Kim Swee berkata, dakwaan pihak tertentu yang mengatakan bahawa Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin gagal menambah baik landskap bola sepak tempatan adalah tidak berasas

“Pihak yang menyuruh Hamidin letak jawatan itu mungkin lupa atau sebenarnya tak tahu yang ranking skuad Harimau Malaya ketika Hamidin mula menjadi Presiden FAM pada Julai 2018 ialah di tangga 171 dunia.

“Kini, prestasi tersebut berjaya diperbaiki dengan cukup baik sehingga kita berjaya mencapai ranking terbaik iaitu 130 dunia pada tahun lalu. Ini satu kejayaan.

“Pada zaman Hamidin ini juga kita dapat melihat pasukan kebangsaan kita mula mampu kembali mencabar pasukan-pasukan di ranking lebih baik, antaranya Kyrgyzstan, Turkmenistan dan India.

“Lebih penting, kita berjaya layak ke Piala Asia 2023 secara merit selepas 43 tahun dan mampu untuk mengikat gergasi Asia, Korea Selatan 3-3.

“Semua ini memerlukan masa untuk kita meningkat dari satu tahap ke satu tahap. Jadi untuk mengatakan Hamidin tidak buat apa-apa untuk bola sepak Malaysia di sepanjang enam tahun ini, adalah satu tanggapan yang sama sekali tidak tepat.

“Malah bagi saya, FAM masih memerlukan Datuk Hamidin sebagai presiden,” kata Kim Swee yang pernah menjadi ketua jurulatih kebangsaan pada 2016 hingga 2017.

Sebagai rekod, surat layang daripada pihak yang menggelarkan diri mereka sebagai UltrasFAM telah tular pada Ahad lepas dengan empat perkara utama dibangkitkan sebagai isu utama.

Antara dakwaan yang disebarkan adalah penyalahgunaan kuasa oleh Setiausaha Agung FAM, gaji serta manfaat kakitangan FAM, isu membabitkan skuad Harimau Malaya dan ‘tender’ projek Pusat Latihan Kebangsaan di Putrajaya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI