fbpx

Pengadil ‘rompak’ kemenangan Arsenal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAKA (kanan) dijatuhkan Neuer dalam kawasan kotak penalti di penghujung perlawanan ketika Arsenal seri 2-2 dengan Bayern di Stadium Emirates awal pagi tadi. - AFP

LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta terkilan kerana pengadil dari Sweden, Glenn Nyberg tidak mengambil serius sepakan penalti pasukannya ketika seri 2-2 Bayern Munich pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Stadium Emirates awal pagi tadi.

Ia selepas kekasaran yang didakwa dilakukan oleh penjaga gol Bayern, Manuel Neuer yang menghalang kemaraan pemain sayap lincah Arsenal, Bukayo Saka di penghujung perlawanan itu.

Bagaimanapun, Nyberg tidak merasakan ia adalah sepakan penalti dan meneruskan permainan, sekali gus menyebabkan The Gunners gagal membawa sebarang kelebihan untuk aksi timbal balik di Allianz Arena pada 18 April nanti.

“Pengadil tidak berkata apa-apa. Dia cuma beritahu mereka sudah melihatnya (Video Bantuan Pengadil) dan memutuskan ia bukan sepakan penalti,” kata Arteta.

Begitupun, pengendali dari Sepanyol itu merasakan anak-anak buahnya mampu mengelak daripada mengalami keputusan itu sekiranya tidak melakukan dua kesilapan terutamanya sepakan penalti yang dihadiahkan oleh William Saliba.

Dalam aksi itu, Arsenal membuka tirai jaringan menerusi percubaan cantik Saka pada minit ke-12 sebelum Bayern mendahului 2-1 melalui Serge Gnabry (m-18) dan sepakan penalti disempurnakan oleh Leroy Sane (m-32).

Percaturan Arteta membawa masuk pemain gantian di babak kedua membuahkan hasil apabila Gabriel Jesus berjaya memperdayakan beberapa pertahanan Bayern sebelum menghantar bola kepada Leandro Trossard untuk meledak gol penyamaan pada minit ke-76.

“Kami menjaringkan gol yang sangat cantik dan berpeluang menggandakan kedudukan untuk mengubah situasi keputusan perlawanan ini.

“Namun, selepas itu perlawanan menjadi terbuka dan kami memberikan peluang kepada mereka untuk menjaringkan gol. Ini adalah Liga Juara-Juara, anda akan dihukum jika membuat sebarang kesilapan,” jelas Arteta. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI