fbpx

30 pelajar sekolah antara 178 individu yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABANG Zainal Abidin (kiri) berbual dengan sebahagian individu yang ditangkap dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan di Unit Penguatkuasaan Trafik IPD Ipoh di Jalan Chamberlain Hulu, Ipoh hari ini.

IPOH – Seramai 30 pelajar sekolah antara 178 orang yang ditahan polis dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Jelapang, di sini hari ini.

Operasi pada pukul 2.30 pagi itu dijalankan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kesemua yang ditahan itu berusia antara 15 hingga 35 tahun membabitkan seramai 166 lelaki dan 12 perempuan.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 30 orang adalah pelajar sekolah menengah dan empat orang lagi penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

“Dalam operasi ini, kita menahan 143 motosikal untuk pemeriksaan dan daripada jumlah itu, 19 motosikal disita atas pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan paling serius dikesan adalah membabitkan pengubahsuaian kenderaan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Unit Penguatkuasaan Trafik IPD Ipoh di Jalan Chamberlain Hulu di sini hari ini.

Menurut beliau, pada operasi sama, sebanyak 302 saman dikeluarkan ke atas pengguna jalan raya manakala ujian saringan air kencing yang dijalankan AADK pula mendapati lima individu dikesan positif dadah.

Katanya, seorang daripada lima individu yang didapati positif dadah itu pernah ditangkap dalam operasi sama pada tahun lalu.

“Selain itu, kita juga berjaya menahan empat individu kerana terlibat kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Operasi ini diadakan bagi membanteras aktiviti samseng jalanan di mana kita telah mendapat banyak aduan daripada penduduk berkaitan kegiatan yang mengganggu ketenteraman awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI