fbpx

Pelajar kolej maut ketika pulang beraya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN motosikal ditunggang Muhammad Fadzri Aiman selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 121.5 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan) malam tadi.

BATU PAHAT – Seorang pelajar Kolej Vokasional Bukit Katil, Melaka maut selepas terlibat dalam kemalangan dipercayai ketika pulang bercuti untuk berhari raya di Kilometer 121.5 Lebuh raya utara selatan (arah selatan) malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa, Muhammad Fadzri Aiman Mohd. Fadli, 20, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 1.05 pagi ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini.

Katanya, mangsa menghembus nafas terakhir akibat daripada kehilangan darah yang banyak kerana kecederaan dialaminya.

Siasatan awal mendapati mangsa yang berasal dari Taman Johor Jaya, Johor Bahru menunggang motosikal berseorangan dari arah Melaka menuju ke Johor Bahru dipercayai pulang bercuti.

“Ketika sampai di lokasi kejadian kira-kira pukul 10.30 malam, motosikal mangsa dikatakan bergesel dengan sebuah kereta yang memperlahankan kenderaan akibat masalah enjin dan menukar laluan ke lorong kecemasan.

“Akibat daripada itu, mangsa telah hilang kawalan dan terjatuh di lorong kanan lebuh raya. Dalam masa sama, sebuah kenderaan dari arah perjalanan sama dan berada di belakang tidak sempat mengelak sebelum melanggar mangsa,” katanya melalui kenyataan pagi hari ini.

Menurut Shahrulanuar, akibat kejadian itu mangsa telah mengalami kecederaan parah di kedua-dua kakinya sebelum dikejarkan ke HSNI menggunakan ambulan sejurus selepas kemalangan berlaku.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sehubungan dengan kejadian ini juga, pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat agar dapat tampil membantu siasatan polis atau menyalurkan maklumat berkenaan ke mana-mana Balai Polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui Hotline Polis IPD Batu Pahat di talian 07-4343999,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI