fbpx

Graduan PhD turut jadi mangsa ‘job scam’ luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin pada sidang Dewan Negara hari ini. - FOTO JABATAN PENERANGAN

KUALA LUMPUR – Lulusan doktor falsafah (PhD) merupakan antara mangsa yang terpedaya dengan sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan profail mangsa yang diselamatkan, pihaknya mengesan terdapat individu berlatarkan pendidikan ijazah tinggi turut ditipu dengan sindiket berkenaan yang menjanjikan pulangan lumayan.

“Bukan calang-calang (mangsa) pemegang ijazah, paling rendah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi naif kerana percaya umpan jenayah kerja ini yang memangsakan semua kategori iaitu luar bandar, bandar, lulusan tinggi dan biasa.

“Apabila kita tanya macam mana boleh terjebak, dia (jawapan mangsa) baca iklan di aplikasi WhatsApp, Wechat, Facebook, dan Telegram yang menawarkan tempat kerja selesa, gaji lumayan dan kerja mudah.

“Ada juga yang menjadi mangsa selepas menerima pelawaan dari kawan-kawan mereka selain kita menyelamatkan mangsa paling muda berusia 16 tahun,” katanya di Dewan Negara di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Rita Sarimah Patrick Insol yang ingin tahu tindakan kerajaan di pintu keluar negara untuk mengatasi masalah sindiket penipuan kerja luar negara.

Sementera itu, Saifuddin berkata, jenayah penipuan pekerjaan juga akan menjadi salah satu daripada 10 agenda utama yang akan diberi penekanan ketika Sidang Kemuncak ASEAN 2025.

Jelasnya, berdasarkan laporan polis sejak September 2021 hingga kini, 362 laporan polis diterima berkaitan penipuan pekerjaan melibatkan 470 mangsa.

“Daripada 470 mangsa ini, 331 orang telah diselamatkan dan bakinya 139 kita kategorikan masih terkandas di negara yang terlibat,” katanya.

Sebagai usaha berterusan bagi memupuk kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai jenayah ini, Saifudin berkata, Kementerian Dalam Negeri kini di peringkat akhir melibatkan pelaksanaan kempen anti pemerdagangan orang yang mendapat persetujuan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

“Sebelum mana-mana individu keluar negara dan terjebak dengan jenayah ini, kita akan adakan kaunter mengenai jenayah penipuan pekerjaan dan pemerdagangan di pintu keluar negara untuk beri kesedaran kepada orang ramai.

“Di kaunter itu mungkin mereka boleh semak terlebih dahulu sebelum mereka meneruskan langkah, kemudian kita akan buat paparan elektronik atau digital di pintu keluar negara sebagai ikhtiar akhir bagi terus mengingatkan orang ramai,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI