fbpx
Antara selebriti yang menjadi wajah kempen pakaian raya.

Perang duta baju raya, paling rare!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KALAU dahulu cuma ada Jakel atau Gulatis yang mampu mengupah dan menyarungkan koleksi baju keluaran raya masing-masing ke tubuh bintang-bintang ternama, kini tidak lagi.

Daripada sehebat-hebat nama, trend itu menjalar sehingga butik-butik yang baru hendak mengintai pasaran mainstream raya, semua pun sudah ‘garang’ mempamerkan wajah-wajah mahal sebagai ‘racun engagement’ menjadi taruhan algoritma kempen promosi raya, khususnya dalam pusat beli-belah digital atau media sosial.

Dahulu juga, hanya pembeli yang ada kemampuan waktu dan tenaga berkunjung butik atau karnival mencari baju diingini. Sekarang tidak perlu.

Selagi lagi ada internet dan perkhidmatan penghantaran courier, selagi itulah pembeli, waima tinggal hujung di kaki bukit pun masih boleh pakai baju macam Remy Ishak.

Apa yang berlaku hari ini memang tidak pernah kita semua terfikir pada tahun 1990-an atau awal tahun 2000 dahulu. Dahulu kalau dapat pakai baju Aaron Aziz atau Zizan Razak, sudah cukup rasa bangga.

Sekarang, namakan sahaja, baju raya ‘siapa’ yang jadi pilihan? Nak baju Beto Kusyairy, Remy, Nabil Ahmad, Bront Palarae, Datuk Adi Putra, Sharnaaz Ahmad, Meerqeen, MK K-Clique, atau Nadhir Nasar, semuanya boleh.

Masing-masing mewakili jenama tersendiri, ada jenama besar dan ada juga yang muncul hanya menjelang Ramadan. Baju raya artis perempuan juga tidak ketinggalan.

Trend menggunakan nama-nama popular sebagai duta atau wajah kempen apa sahaja produk adalah satu normalisasi, tetapi bila bercakap soal Aidilfitri yang datangnya sekali setahun ini, vibe atau getarannya bukan main-main.

Tahun ini, bukan artis ‘top tier’ jadi duta. Pasaran baju raya buat pertama kali melihat kemunculan model level ahli politik berjiwa artis, siapa lagi kalau bukan si ‘tall dark handsome’ pujaan ramai, Khairy Jamaluddin atau KJ.

Dengan penceritaan ala-ala ketua komplot, disesuaikan karakter geng baju Melayu, kemunculan iklan baju menampilkan bekas Menteri Kesihatan yang sekarang bergelar penyampai radio dalam pasukan baju satu jenama itu agak impresif.

Bukan artis muda sahaja, paling jarang berlaku dalam situasi perang promosi baju raya terlihat menerusi kemunculan segerombolan geng Pok Ya Concodey (Sabri Yunus) bersama pelakon drama fenomena tersebut.

Hadir dengan penceritaan misi geng Pok Ya membelasah seorang individu, mujurlah iklan baju raya butik jenama tersebut tidak menyenaraikan sekali watak Muda Primula (Eman Manan) sebagai ubat pelaris. Kalau tidak, pasti lebih ‘rare’ iklan raya mereka tahun ini.

Demi pengaruh dan kuasa viral, jenama baju raya juga laju bertindak mengambil model mi segera yang lahir impak kuasa tular seperti Marissa Dania Hakim dan madunya Misya. Siapa menduga juga, suami Adira, Datuk Red yang tiba-tiba menjadi influencer pun disambar jadi model iklan baju raya jenama terkemuka.

Itu hebatnya apabila populariti dan kuasa tular diyakini sebagai alat yang boleh menukar sanjungan atau kecaman menjadi wang. Tahun depan, perang promosi bagaimana pula yang akan kita semua saksikan.

Tunggu dan lihat sahaja, semoga kita semua selamat beraya! Maaf zahir dan Batin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN