fbpx

Tengku Pemaisuri Selangor dukacita kaedah PBT urus anjing terbiar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Permaisuri Norashikin

SHAH ALAM – Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor perlu memperinci semula pendekatan baharu yang lebih holistik dalam menguruskan anjing-anjing terbiar.

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, baginda berdukacita dan kecewa mendengar perkembangan baharu mengenai operasi penangkapan anjing berkeliaran di negeri Selangor khususnya.

Tengku Permaisuri Norashikin sebagai Penaung Diraja bagi kempen Stray Free Selangor (SFS) kendalian Persatuan Pencegahan Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA) telah berulang kali menekankan bahawa tidak bersetuju dengan pendekatan ‘catch and kill’ atau tangkap dan lupus untuk dilakukan oleh mana-mana PBT termasuk yang tular membabitkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Saya percaya banyak lagi kaedah lain yang boleh digunapakai untuk membendung masalah ini termasuk penmandulan (neuter).

“Sebagai Penaung Diraja SFS di bawah SPCA Selangor, saya mahu PBT memperinci semula pendekatan baharu yang lebih holistik dalam menguruskan anjing-anjing terbiar ini.

“Saya pernah mencadangkan sebelum ini agar usaha-usaha memelihara kebajikan dan mengurangkan bilangan haiwan-haiwan terbiar ini dipergiat, menerusi kempen Create Caring and Compassionate Communities (CCC),” titah baginda dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah Klang, hari ini.

Kempen CCC antaranya menggariskan beberapa inisiatif utama melibatkan kerjasama di antara PBT dengan SPCA dalam mengendalikan sesi-sesi Responsible Pet Ownerships (RPO) bersama penduduk.

Ini termasuk mendapatkan khidmat nasihat dan pemantauan daripada SPCA dan NGO sekiranya wujud keperluan untuk melupuskan haiwan-haiwan terbiar ini di atas sebab kesihatan atau sebagainya.

Justeru, Tengku Permaisuri Norashikin mencadangkan, supaya PBT mewujudkan rumah perlindungan haiwan terbiar bagi setiap taman perumahan dengan kerjasama penduduk selain memperluaskan program pemandulan haiwan.

Tegas baginda, PBT juga wajar mewajibkan pemaju perumahan untuk membina atau menyediakan pusat perlindungan seumpamanya.

“Ketika ini, SPCA Selangor Bersama Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia, Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA) dan Persatuan Veterinar Haiwan Kesayangan Malaysia (MSAVA) giat mengadakan program pemandulan kucing dan anjing, “Potong-Royong”.

“Sejak dimulakan pada Mac 2023, sejumlah 1,626 ekor haiwan telah dimandulkan menerusi program ini, sebagai usaha mengurangkan populasi haiwan terbiar,” titahnya.

Mengulas lanjut, baginda berpendapat sudah tiba masa untuk pihak berwajib meneliti semula Pekeliling Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Bilangan 5 Tahun 2014.

“Ini (pekeliling) mengenai Tatacara Operasi Piawaian (SOP) Penangkapan dan Pelupusan Anjing Terbiar di Kawasan PBT agar lebih relevan dengan situasi semasa.

“Saya benar-benar berharap usaha-usaha untuk menjaga kebajikan haiwan-haiwan terbiar ini akan berterusan dan tidak sekadar melepas batuk di tangga sahaja,” titahnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI