fbpx
Penguat kuasa MPM melakukan operasi penguatkuasaan aktiviti perniagaan di sekitar Pantai Teluk Senangin baru-baru ini. - GAMBAR MPM

Tiada penguat kuasa PBT, huru-hara bandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh dikatakan kerap diberi liputan oleh media arus perdana atau media alternatif, ada sahaja berita berkenaan mereka.

Biarpun ada berita yang baik bagi imej penguat kuasa PBT, berita-berita yang ‘menyakitkan’ hati segelintir masyarakatlah yang akan ‘meletup’ di media sosial.

Sebagai contoh, isu ‘abang belon’ yang melibatkan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), insiden ‘pakcik petai’ membabitkan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) serta isu pelupusan anjing jalanan oleh Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

Semua isu yang mendapat liputan tanpa penjelasan terperinci, menyebabkan penguat kuasa PBT dihina.

Selepas suatu isu itu diberi penerangan jelas oleh PBT atau pihak berkaitan, baharulah amarah orang ramai reda.

Pengarah Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan MPM, Mohamad Sharil Salihan berkata, penguatkuasaan adalah antara bahagian penting dalam PBT yang bertanggungjawab memastikan undang-undang kecil dan peraturan tempatan dipatuhi oleh orang awam, peniaga, serta pemilik premis.

Katanya, bidang utama bahagian penguatkuasaan PBT merangkumi pelbagai aspek, antaranya penguatkuasaan undang-undang kecil (UUK).

“Bahagian penguatkuasaan PBT menjalankan operasi sitaan, kompaun dan pemeriksaan terhadap pelanggaran UUK seperti penjajaan tanpa permit, buang sampah haram, binaan tanpa kebenaran dan sebagainya.

“Selain itu, bahagian ini juga memastikan peniaga memiliki permit sah tidak kira tetap atau sementara. Tindakan sita barang perniagaan jika berniaga di kawasan larangan atau tanpa kelulusan akan diambil terhadap mereka yang melanggar syarat ini,” katanya.

Ujar, tugas penguat kuasa PBT juga bagi memastikan kebersihan kawasan umum serta terhadap alam sekitar.

“Ia melibatkan kesalahan seperti pembuangan sampah haram, longkang tersumbat akibat pembuangan sisa, pembakaran terbuka dan pencemaran bau,” katanya.

Antara lain, beliau berkata, adalah pemantauan parkir berbayar, kesalahan meletak kenderaan di tempat larangan dan penggunaan parkir khas tanpa kebenaran.

“Menyita atau meroboh struktur haram yang dibina tanpa kelulusan, termasuk bangunan tambahan di premis kediaman atau perniagaan, menurunkan iklan, banner, bunting atau papan tanda yang dipasang tanpa permit sah.

“Tindakan juga diambil terhadap pemilik haiwan yang tidak mengawal ternakan, anjing berkeliaran atau ternakan yang menyebabkan gangguan,” katanya.

Katanya, penguat kuasa PBT juga menyokong operasi seperti polis, Agensi Antidadah Kebangsaan, imigresen, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup atau pejabat kesihatan dalam operasi bersepadu.

Berdasarkan skop tugasan bahagian penguat kuasa PBT berkenaan, adalah jelas mereka berperanan besar dalam memastikan undang-undang tempatan dipatuhi.

Adalah tidak adil jika ada pihak terus menuding jari terhadap penguat kuasa PBT dan mengatakan mereka hanya wujud untuk menyusahkan ‘rakyat marhaen’.

Hakikatnya, huru-haralah suatu kawasan berkenaan sekiranya bahagian penguatkuasaan PBT tidak memainkan peranan mereka sebagai penegak undang-undang tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN