PETALING JAYA – Aplikasi TikTok yang pernah dipandang negatif sesetengah pihak sewaktu awal kemunculannya ekoran banyak kandungan dianggap tidak bermanfaat, kini menjadi platform pilihan oleh pentadbiran masjid atau surau untuk menyebarkan dakwah.
Tinjauan Kosmo! di platform itu mendapati, banyak masjid dan surau di seluruh negara kini memilih TikTok untuk mendidik masyarakat, bahkan jumlah pengikut mereka menyamai pempengaruh media sosial.
Pelbagai kandungan kreatif dikongsi termasuk sketsa dan lakonan mencuit hati ditambah para ‘pelakon amatur’ dan bidan terjun daripada sebesar-besar jawatan sebagai nazir masjid dan pengerusi, imam dan bilal hinggalah siak, pekerja pembersihan dan penggali kubur turut dilibatkan.
Sebagai contoh, Masjid Bandar Seri Putra di Bangi, Selangor antara yang popular di TikTok memiliki lebih 100,800 pengikut, manakala Masjid Muhammadi, Kota Bharu di Kelantan dengan lebih 127,300 pengikut.
Bilal Masjid Bandar Seri Putra, Mohd. Dzikri Mohd. Nor, 39, berkata, pihaknya menggunakan TikTok selepas Nazir masjid tersebut, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ir. Riza Atiq Abdullah O.K. Rahmat menyarankannya untuk mempromosi masjid tersebut.
“Kami menjadikan Masjid Al Busyra, Merbok di Kedah dipopularkan Pengerusinya, Ustaz Mohd. Firdaus Mat Akhir di TikTok sebagai rujukan. Kami bermula Januari lalu dengan 15 pengikut sahaja.
“Asalnya kami sasar untuk capai 10,000 pengikut dalam bulan Februari, tapi tak sangka mencecah hampir 70,000 dalam tempoh sebulan TikTok Masjid Bandar Seri Putra dilancarkan,” katanya ketika ditemui.
Katanya, pelbagai kandungan video berbentuk santai dihasilkan, tetapi masih mengekalkan matlamat dakwah adalah cetusan idea unit media masjid itu.
“Kita libatkan petugas masjid daripada nazir, imam, bilal, siak hingga pekerja pembersihan, penggali kubur selain sukarelawan sebagai bidan terjun berlakon sketsa bermesej,” katanya.
Pencipta kandungan Unit Media Masjid Bandar Seri Putra, Muhammad Amirul Azizi Roslan, 28, berkata, dia mengakui bukan mudah pada awalnya untuk mencari idea-idea baharu bagi perkongsian di TikTok.
“Antara video pertama dimuat naik ialah ‘review’ tanah perkuburan dan ia ‘viral’ dikongsikan orang ramai termasuk portal media. Dari situ ramai pengikut pada akaun TikTok masjid ini.
“Kita cuba mengikut trend semasa, sebagai contoh jika sedang ‘viral’ isu poligami atau zakat misalnya. Kita buat video berkaitan trend tersebut. Malah, ‘followers’ juga ada memberikan cadangan idea untuk kandungan video,” katanya.
Sementara itu, Imam Tua II Masjid Muhammadi di Kota Bharu, Ustaz Nik Mohd. Afif Azhan Nik Mohd. Naidi, 27, berkata, pihaknya menggunakan platform TikTok sejak Januari tahun lalu sebagai usaha menarik golongan muda mengimarahkan masjid.
“Saya cadang kepada pihak pengurusan mengapa tidak guna TikTok untuk mempromosi masjid kerana golongan muda minat TikTok. Umur saya pun tak sampai 30 tahun lagi, jadi saya maklum apa orang muda suka.
“Ia menjadi idea kepada ‘content’ TikTok Masjid Muhammadi dan alhamdulillah, dalam tempoh setahun sudah capai lebih 114,000 pengikut.
“Mereka bukan sahaja dalam kalangan penduduk di Kelantan, bahkan ada dari negeri lain. Kita turut menerima mesej peribadi daripada pihak masjid lain yang bertanyakan kaedah dakwah menerusi TikTok,” katanya.
Jelasnya, penggunaan TikTok turut memberi kesan ketara yang mana kehadiran masyarakat setempat bertambah, terutama ketika solat subuh pada hari Jumaat ditambah lagi pelbagai aktiviti dijalankan di masjid.
“Bukan biasa-biasa kita buat kempen subuh berjemaah setiap Jumaat dengan disediakan sarapan, jadi promosi di TikTok sampai kepada masyarakat.
“Ia kemudian jadi norma di Kelantan. Kita pernah cuba tak promosikan di TikTok, jemaah masih melimpah keluar. Maksudnya masyarakat setempat sudah tahu sekali gus bersama imarah masjid,” ujarnya.
Tambahnya, pada awalnya dia agak malu-malu beraksi di hadapan kamera, namun perasaan itu diketepikan dan kemudian turut dilibatkan pelbagai ‘bakat amatur’ yang lain seperti imam, bilal serta ahli jawatankuasa masjid. -KOSMO! ONLINE















