fbpx

Tiga mualaf ditaja tunai umrah, berada 20 hari di Mekah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Nur Mohammad Hadi (dua kiri) bersama mualaf asnaf yang mendapat tajaan umrah di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur tadi.

SEPANG- Tiga individu mualaf dalam kategori asnaf ditaja menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci selama 20 hari, sekali gus membolehkan mereka mendalami sejarah Islam secara lebih menyeluruh.

Pada masa sama, ketiga-tiga mualaf itu iaitu Nur Ain Sumaiyah, Nur Wafa Abdullah dan Muhammad Hafiz Abdullah yang mendapat tajaan umrah daripada Pertubuhan Akademi Al Bayan juga berpeluang menyambut Syawal di Tanah Suci.

Pengarah Eksekutif Pertubuhan Akademi Al Bayan, Dr. Nur Mohammad Hadi berkata, ketiga-tiga mualaf bertuah itu dipilih secara profesional daripada lebih seratus permohonan yang diterima.

“Sebenarnya, ramai yang hantar permohonan untuk mendapat tajaan tunai umrah, tetapi panel hanya memilih tiga yang layak sahaja.

“Antara kriteria yang kita mahu daripada mualaf terlibat ialah boleh membaca al-Quran kerana mengutamakan ibadah selain dalam kalangan B40 atau asnaf serta mempunyai pekerjaan dalam bidang dakwah,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini tadi.

Mengulas lanjut, katanya, pihaknya juga mendapat tawaran diskaun daripada pengelola umrah dimana pakej ditawarkan kepada setiap mualaf untuk berada selama 20 hari ialah sebanyak RM6,990.

Katanya, bagi memastikan mualaf terbabit tidak terbeban daripada segi kewangan, pihaknya juga menyumbangkan sebanyak RM1,000 sebagai duit belanja ketika berada di Tanah Suci.

“Kita sentiasa berusaha untuk memastikan golongan itu tidak dipinggirkan kerana mahu mereka mendalami Islam secara lebih mendalam.

“Ini adalah penanda aras kami kerana baru pertama kali menaja mualaf ke Tanah Suci serta berharap mereka memahami perjuangan nabi supaya dapat berdakwah kembali apabila pulang ke tanah air,” jelasnya.

Sementara itu, mualaf terpilih iaitu Nur Wafa, 34, melahirkan perasaan gembira apabila terpilih menjadi tetamu Allah pada bulan Ramadan untuk ke Tanah Suci.

“Jika diimbas, saya memang mempunyai hasrat untuk ke sana selepas memeluk Islam pada 2012, tetapi belum berkemampuan daripada sudut kewangan.

“Alhamdulillah, ini rezeki saya selepas melalui beberapa tapisan termasuk perlu menghantar video membaca al-Quran kepada Pertubuhan Akademi Al Bayan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI