fbpx

Kenyataan fitnah, Jamal kekal kena bayar Teressa RM300,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jamal (kiri) dan Teresa.

PUTARAJAYA – Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos kekal perlu membayar RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim berhubung kenyataan berbaur fitnah berkaitan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Supang Lian membuat keputusan itu selepas mendapati rayuan yang dikemukakan Jamal tidak mempunyai merit.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Azman Abdullah dan Datuk Wong Kian Kheong.

Panel terbabit turut memerintahkan Jamal selaku perayu membayar kos sebanyak RM20,000.

Pada prosiding hari ini, Jamal diwakili peguam, Rejinder Singh manakala Teresa diwakili peguam, Jaden Phoon Wai Ken dan Rebecca Marshall.

Pada 26 Julai 2022, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd. Arief Emran Arifin membenarkan tuntutan saman fitnah Teresa terhadap Jamal yang difailkan enam tahun lalu setelah berpuas hati defendan gagal membuktikan pembelaannya.

Mohd. Arief Emran turut memerintahkan membayar ganti keseluruhan meliputi ganti rugi am, teruk dan teladan dalam tempoh 14 hari.

Mahkamah juga mengarahkan defendan membayar kos RM50,000 serta mengeluarkan perintah injunksi yang melarang defendan atau ejennya daripada mengulangi dakwaan itu.

Pada 29 Mac 2023, Mahkamah Rayuan yang berbeza membenarkan permohonan Jamal untuk menangguhkan pembayaran tersebut.

Bagaimanapun, jumlah serupa perlu dimasukkan ke dalam akaun peguam Teresa dan dipegang sebagai pemegang amanah sehingga rayuan diputuskan.

Teresa memfailkan saman pada 6 April 2017 dengan mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berkaitan dana Yawas dalam sidang media pada 8 Mac 2017.

Dalam pernyataan tuntutannya, Teresa mendakwa kenyataan berkenaan telah disiarkan oleh media cetak dan elektronik termasuk dalam laman sosial Facebook milik Jamal.

Teresa mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kegunaan sendiri dan seorang yang tidak beretika.

Beliau menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI