fbpx

Jun Hao belum puas aksi sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JUN HAO berhasrat untuk mara lebih jauh pada kejohanan Sepanyol Masters selepas menampilkan aksi mengecewakan dalam tiga kejohanan terdahulu.

PETALING JAYA – Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mengakui belum berpuas hati dengan aksi ditampilkan dalam tiga kejohanan terakhir yang menyaksikan dia hanya menamatkan saingan di pusingan pertama.

Justeru, bagi mengubat kekecewaan itu, dia memasang hajat untuk mara lebih jauh pada Kejohanan Badminton Sepanyol Masters yang sedang berlangsung di Madrid bermula semalam hingga Ahad ini.

Kata Jun Hao, masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki bagi memastikan dia mampu untuk menampilkan aksi lebih baik dalam usaha memburu kedudukan lebih baik dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

“Secara jujur, boleh dikatakan saya agak tidak puas dengan prestasi saya dalam kejohanan-kejohanan sebelum ini. Masih ada aspek yang perlu diperbaiki bagi memastikan saya dapat menampilkan aksi lebih baik.

“Saya tidak memiliki sasaran spesifik di Sepanyol Masters, cuma berharap mampu melangkah lebih jauh berbanding kejohanan sebelum ini. Hanya fokus satu demi satu perlawanan terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sebagai rekod, kali terakhir Jun Hao meraih gelaran di pentas antarabangsa adalah ketika dia muncul juara Kuala Lumpur (KL) Masters tahun lalu selepas menewaskan Lee Chia Hao dari Taiwan di perlawanan akhir.

Menjelang pusingan pertama Sepanyol Masters hari ini, bekas juara remaja Asia itu dijangka tidak berdepan sebarang masalah untuk mara ke pusingan seterusnya apabila diundi bertemu pemain tuan rumah, Pablo Abian.

Bagaimanapun, laluannya mungkin sedikit sukar di pusingan kedua apabila berkemungkinan besar bertemu seorang lagi pemain Taiwan, Lin Chun Yi yang masih segar dengan kejayaan muncul juara Terbuka Switzerland Ahad lalu.

Kejohanan Jelajah Dunia Super 300 itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah AS$210,000 (RM992,145) dengan pemenang acara perseorangan bakal meraih AS$15,750 (RM74,410) manakala beregu akan merangkul AS$16,590 (RM78,379). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI