fbpx

Pendakwah, penceramah tiada tauliah boleh didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na’im.

KUALA LUMPUR – Semua pendakwah dan penceramah di Malaysia perlu mendapatkan tauliah mengajar sebelum dibenarkan untuk berceramah atau mengajar.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, para penceramah yang didapati menimbulkan isu yang boleh mengelirukan masyarakat akan dipanggil untuk diberi peringatan.

Tegas beliau, sekiranya gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan, pihak berkuasa agama boleh mengambil tindakan dengan menarik semula tauliah mengajar.

“Bagaimanapun, sekiranya didapati pendakwah itu tiada tauliah mengajar, tindakan undang-undang boleh dikenakan di bawah Akta atau Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) mengenai sikap kerajaan terhadap beberapa agamawan yang sering mempertikaikan kewibawaan ulama-ulama muktabar seperti Imam Shafie, Imam Ghazali dan sebagainya.

Dalam pada itu, Mohd Na’im turut menggesa agar para pendakwah sentiasa berhikmah ketika menyampaikan dakwah kepada orang awam.

Menurut beliau, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah membangunkan Garis Panduan Kod Etika Berdakwah berkaitan Perbandingan Agama bagi tujuan tersebut.

Tambah Mohd Na’im, kerajaan menyedari tentang wujud pihak yang lantang mempertikaikan kewibawaan para ulama khasnya di media sosial kerana perbezaan pandangan dan pendapat dalam sesuatu masalah furu’.

“Kerajaan memandang serius terhadap beberapa agamawan dilihat sering mempertikaikan kewibawaan ulama muktabar yang boleh mencetuskan polemik dan menimbulkan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

“Sungguhpun Islam mengiktiraf kebebasan bersuara dan kebebasan mengemukakan pandangan tetapi ia bukanya secara mutlak. Ia perlu berlaku dalam lingkaran yang dibenarkan dengan meraikan adab dan kerangka disiplin ilmu tertentu,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI