TERDAPAT sekurang-kurangnya 1.2 juta spesies haiwan di dunia dan sebahagian daripadanya mampu mengancam nyawa manusia.
Filem Hollywood sering menggambarkan haiwan buas seperti singa dan buaya sebagai binatang yang harus digeruni.
Namun hakikatnya, musuh utama yang menyumbang kepada sejumlah besar kematian manusia adalah haiwan bersaiz lebih kecil.
Bagi merungkai kebenaran di sebalik identiti haiwan berbahaya ini, Panorama menyenaraikan lima binatang paling bahaya berdasarkan laporan BBC Science and Focus.
1. Nyamuk (725,000 kematian setahun)
Biarpun bersaiz kecil, namun nyamuk merupakan haiwan paling berbahaya di dunia.
Antara penyebaran penyakit yang dibawa oleh nyamuk adalah seperti malaria, chikungunya, denggi dan virus zika.
Untuk pengetahuan, hanya nyamuk betina yang menggigit dan menyebarkan penyakit.
2. Ular (138,000 kematian setahun)
Ular berbahaya boleh ditemui di seluruh dunia. Reptilia itu boleh membunuh manusia dengan pelbagai cara berbeza dan kejam.
Sebagai contoh, spesies mamba hitam boleh membunuh manusia dengan hanya dua titisan racun daripada gigitannya.
Sementara ular sawa pula membelit tubuh mangsanya sehingga tulang-tulang hancur sebelum menelan.
3. Anjing (59,000 kematian setahun)
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), anjing adalah sumber utama kematian akibat rabies manusia.
Rabies dijangkiti manusia menerusi gigitan, cakaran dan sentuhan langsung dengan kawasan yang dijangkiti pada anjing.
Rabies mengakibatkan tingkah laku hiperaktif, halusinasi, kurang koordinasi, hidrofobia (takut air) dan aerofobia (takut pada udara segar) sehingga akhirnya membawa kepada kematian.
4. Pepijat (10,000 kematian setahun)
Manusia dijangkiti penyakit Chagas menerusi gigitan pepijat atau melalui makanan dan minuman yang telah dicemari oleh najis pepijat.
Ini kerana, najisnya mengandungi parasit protozoa Trypanosoma cruzi (T.cruzi) yang boleh menyerang jantung, sistem pencernaan dan sistem saraf.
Menurut Pan American Health Organization (PAHO), penyakit tersebut juga boleh berjangkit daripada ibu mengandung kepada bayi melalui plasenta.
5. Kala jengking (3,300 kematian setahun)
Kala jengking menyengat dengan ekornya dan menyuntik racun ke dalam mangsa.
Hanya 25 daripada lebih 2,600 spesies arachnida memiliki toksin yang cukup kuat untuk membunuh manusia.
Bisa kala jengking lebih cenderung membunuh kanak-kanak, warga emas dan mereka berpenyakit.














