fbpx

Bandar Kuwait paling panas catat suhu 52 darjah Celsius

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bandar Kuwait dilanda cuaca panas ekstrem dengan suhu mencecah 52 darjah Celsius. – DAILY STAR

BANDAR KUWAIT – Bandar Kuwait mencatatkan suhu ‘sukar dipercayai’ mencecah 52 darjah Celsius yang menyaksikan alat pendingin hawa dipasang di luar kerana jalan terlalu panas, manakala banyak kuda laut mati disebabkan suhu air laut ‘menggelegak’, lapor akhbar Daily Star kelmarin.

Gelombang haba yang dirasai di Benua Eropah pada musim panas kali ini dianggap biasa berbanding suhu di Bandar Kuwait yang juga dikenali sebagai salah satu tempat paling panas di Bumi.

Britain, Perancis, Itali dan Sepanyol dilanda cuaca panas melampau sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun Kuwait dianggap sebagai tempat yang tidak sesuai didiami manusia di­sebabkan suhu musim panasnya kerap mengatasi rekod 52 darjah Celsius.

Beberapa laporan bukan sahaja menyebut tentang burung jatuh dari langit dan kuda laut mati ‘menggelegak’ di tepi pantai, malah, cuaca amat panas itu boleh menyebabkan peningkatan ribut pasir.

Pada Julai 2016, stesen cuaca Mitribah mencatatkan bacaan 54 darjah Celsius iaitu ketiga ter­tinggi di dunia.

Jangka suhu turut merekodkan bacaan 50 darjah Celsius selama19 hari pada 2021 dengan negara Asia Barat itu menjadi semakin panas pada kadar lebih cepat berbanding purata suhu global.

Saintis-saintis meramalkan suhu di Kuwait meningkat sebanyak 5.5 darjah Celsius menjelang akhir abad ini. Peratusan hujan tahunan juga telah menurun di negara kering berkenaan.

Bacaan 50 darjah Celsius adalah separuh suhu air menggelegak dan 13 darjah Celsius melebihi suhu badan manusia. Suhu tersebut bukan sahaja tidak sihat tetapi amat berbahaya.

Pendedahan berpanjangan pada suhu 50 darjah Celsius mengakibatkan keletihan dan masalah kardiovaskular yang membawa kepada kematian.

Bandar Kuwait menjadi tempat yang tidak sesuai didiami manusia dengan pedagang kurma, Abdullah Ashkanani berkata, penggunaan tenaga berlebihan oleh manusia telah ‘membawa haba ini ke Kuwait.’

Kerajaan Kuwait telah mengeluarkan perintah membenarkan majlis pengebumian diadakan pada waktu malam sebagai cara untuk menangani kepanasan.

Menurut satu kajian pada 2020, sebanyak dua pertiga (67 peratus) daripada keseluruhan tenaga elektrik di bandar raya tersebut digunakan untuk alat pendingin hawa yang beroperasi sepanjang masa akibat cuaca terlalu panas.

Seorang ekspatriat dikenali sebagai Joshua Wood menulis dalam laman ExpatsExchange memaklumkan tentang ‘kualiti tinggi kehidupan’ di Kuwait iaitu sebuah negara ‘moden, mewah dan selamat’.

Bagaimanapun, dia memberi amaran bahawa suhu amat panas direkodkan dari Mei hingga September.

Menurutnya, suhu panas pada Jun, Julai dan Ogos pula dianggap ‘tidak munasabah’.

Kuwait merupakan negara pengeluar emisi karbon dioksida ketiga terbesar di dunia di belakang Bahrain dan Qatar.

Sementara negara jiran se­perti Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu melafazkan ikrar sifar karbon dioksida menjelang beberapa dekad akan datang, Kuwait pula berjanji untuk mengurangkan pelepasan karbon cuma 7.4 peratus menjelang 2035. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI