fbpx

34,497 kes ‘scam’ babit lebih RM1.2 bilion kerugian pada 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 34,497 kes penipuan (scam) membabitkan kerugian berjumlah RM1.218 bilion dan pertuduhan sebanyak 12,851 kes dilaporkan di seluruh negara pada 2023.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, berdasarkan statistik, kes penipuan jenayah telekomunikasi mencatatkan kes tertinggi dengan 10,348 kes melibatkan kerugian RM352 juta.

Menurutnya, sepanjang tahun 2023, sebanyak 6,434 kertas siasatan telah dibuka melalui panggilan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) membabitkan kerugian sebanyak RM105 juta.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM17.5 juta berjaya disekat sebelum dikeluarkan oleh penjenayah dan sebanyak RM178,407 jumlah sitaan berjaya dipulangkan kepada mangsa,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Manolan Mohamad mengenai langkah kementerian bagi mengatasi isu ‘scammer’ yang mengakibatkan kerugian dalam akaun simpanan mangsa.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata, pelbagai usaha telah dan masih dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengekang jenayah penipuan dalam talian.

Kata Shamsul Anuar, antaranya dengan menyediakan perkhidmatan portal Semak Mule bagi membolehkan masyarakat membuat semakan nombor akaun bank dan telefon yang terlibat.

“Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) turut menyediakan perkhidmatan CCID Infoline (013-2111222) untuk masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan penipuan dan jenayah komersil.

“Kita juga menjalankan usahasama dengan agensi swasta dari sudut mengenalpasti nombor-nombor telefon yang telah disenarai sebagai scammer oleh pihak penguatkuasa,” ujarnya.

Tambahnya, sebanyak 1,610 kempen dan 3,727 ceramah telah dilaksanakan tahun lalu bagi memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan jenayah penipuan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI