fbpx

SST tidak jejas perhotelan Melaka, tempahan naik 70 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAZALI (kanan) pada Majlis Pelancaran Bufet Ramadan Hotel MITC, Melaka. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD / KOSMO!

MELAKA – Tempahan hotel di negeri ini terus meningkat mencecah 70 peratus meskipun selepas kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) telah dinaikkan daripada enam peratus kepada lapan peratus bermula 1 Mac lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif M Corp Hotel Sdn. Bhd., Sazali Sabri berkata, peningkatan itu merupakan impak promosi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) dilaksanakan kerajaan negeri yang berjaya menarik pengunjung dari luar negara khususnya China.

“Peningkatan ini amat dirasai kerana sebelum ini industri perhotelan terkesan teruk akibat pandemik Covid-19 sehingga jumlah tempahan menyusut lebih 50 peratus sepanjang dua tahun lalu.

“Biasa kita hanya dapat 40 peratus sahaja tempahan antara Januari hingga Mac, kita percaya situasi ini disebabkan TMM 2024 yang berjaya menarik pelancong China,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Bufet Ramadan Hotel MITC, Ayer Keroh di sini.

Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan kadar baharu SST, beliau berkata, setakat ini kenaikan itu tidak memberikan kesan yang ketara kepada pihak hotel.

“Hanya harga bilik sahaja yang naik, manakala makanan dan minuman masih sama, jadi kadar SST itu tidak memberi kesan ketara kepada kami.

“Bagi pelanggan domestik mungkin mereka akan terasa sedikit mahal tetapi tidak menjejaskan tempahan, tidak ada lagi kes membatalkan tempahan kerana kadar SST ini,” katanya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, TMM 2024 menunjukkan perkembangan positif apabila lebih 150,000 pelancong mengunjungi Melaka sempena Hari Ulang Tahun Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Ke-68.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, jumlah itu menjanjikan kejayaan TMM 2024 terutama kunjungan di 11 produk pelancongan yang menawarkan kemasukan percuma. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI