fbpx

Lebih jimat berbuka di masjid, makanan pun sedap, mewah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara foto yang dimuat naik oleh pengguna media sosial memaparkan menu dan suasana berbuka di sebuah masjid.

PETALING JAYA – Sejak kebelakangan ini ramai pengguna media sosial merungut harga makanan di bazar Ramadan semakin mahal dan tidak masuk akal sehingga tekad ingin melancarkan boikot.

Susulan itu, ramai yang mencadangkan untuk berbuka di masjid atau surau untuk berjimat-cermat selain makanan yang disediakan juga tidak kurang ‘mewahnya’.

Menerusi ciapan seorang pengguna dikenali sebagai Bart, alternatif berbuka di masjid dicadangkan buat golongan bujang yang benar-benar ingin berjimat-cermat.

Turut dikongsikan satu gambar memaparkan menu berbuka puasa di sebuah surau di Putrajaya yang menyenaraikan pelbagai menu terdiri daripada makanan berat, kuih-muih dan hidangan moreh.

“Alternatif lebih jimat, buka di masjid atau surau. Sesetengah tu hidang macam-macam dan selalunya memang sedap sebab mereka (pihak masjid) ikhlas nak menjamu pengunjung.

“Kepada yang bujang atau sesiapa yang betul-betul nak berjimat dan menabung atau dalam keadaan sesak boleh lah berbuka di masjid atau surau. Secara tak langsung memberi pahala kepada orang-orang yang sedekah makanan-makanan tu,” ciapnya.

Selain itu, dalam ciapan pengguna lain turut dilihat orang ramai berkongsikan senarai masjid atau surau yang menyediakan makanan berbuka puasa mewah dan cukup menyelerakan.

Antara yang mencuri tumpuan adalah di Masjid Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, apabila setiap pengunjung yang datang disediakan meja ‘banquet’ dan makanan turut dihidangkan oleh para pelayan.

Lebih mengejutkan, makanan yang dihidangkan adakalanya dimasak oleh chef terkenal demi untuk menjamu orang ramai berbuka di masjid berkenaan.

“Masjid Bukit Damansara ni memang tak terasa mcm kita makan iftar sumbangan. Rasa macam makan kt majlis-majlis. Bukan iftar je ‘top notch’, moreh pun kadang kala chef yang masakkan. Semoga Allah murahkan rezeki mereka yang terlibat,” ciapnya.

Menurut seorang pengguna dikenali sebagai Jauhai pula, sepanjang Ramadan tahun lepas dia tidak keluarkan duit sesen dengan hanya berbuka di masjid dan surau.

“Tahun lepas aku dah cuba dan berjaya. Berbuka tanpa keluar satu sen pun. Setiap hari kat surau dan masjid. Kalau surau kecil seronok, dapat buat kawan baru. Kalau kawasan rumah ada tiga atau empat surau dan masjid, pusing la hari-hari sampai habis puasa,” ciapnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI