fbpx

Geng Kabil: 20 hari keluar penjara ajak rakan meragut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anbalagan ketika sidang akhbar di IPD Serdang hari ini.

SERDANG – Baru sahaja 20 hari dibebaskan dari Penjara Kajang, seorang bekas banduan lelaki tempatan berkomplot dengan seorang lagi rakannya meragut seorang pejalan kaki wanita berhampiran sebuah stesen minyak Jalan Merak, Puchong, di sini, pada 26 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 11.30 malam, pengadu didatangi sebuah motosikal dari arah belakang sebelum suspek bertindak merampas beg galas yang mengandungi dokumen penting miliknya.

Katanya, suspek telah melarikan diri bersama beg berkenaan manakala mangsa mengalami kerugian RM250 akibat kejadian.

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serdang berjaya menahan suspek pertama (B1) berhadapan sebuah stesen minyak, Jalan Merak, Bandar Puchong pada pukul 2.30 petang, 11 Mac lalu.

“Sementara itu, suspek kedua (B2) yang juga lelaki tempatan, ditangkap di Jalan BK 1/5, Bandar Kinrara Puchong selepas dipercayai menjadi rakan sejenayah dalam kes sama.

“Tangkapan suspek adalah berdasarkan televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar,” katanya ketika sidang akhbar di IPD Serdang, di sini, hari ini.

Jelasnya lagi, suspek B1 merupakan penganggur berusia 27 tahun serta mempunyai empat rekod dadah dan dua rekod jenayah manakala B2 juga penganggur berusia 33 tahun dengan dua rekod dadah serta dua lagi rekod jenayah.

“Untuk makluman, B2 ini baru sahaja dibebaskan 20 hari dari hukuman penjara Kajang bagi hukuman penjara atas kesalahan samun berkumpulan selama 12 tahun dan menjalani hukuman selama sembilan tahun.

“Suspek mengaku terlibat dalam kes yang disiasat. Hasil soal siasat, B1 telah mengaku melakukan ragut di kawasan Sri muda, Shah Alam manakala B2 mengaku terlibat satu kes di kawasan Bandar Sunway, Subang Jaya.

“Hasil pemeriksaan ujian saringan awal ke atas suspek, B1 positif dadah jenis ganja manakala B2 positif dadah jenis ganja, methamphetamine dan amphetamine,” katanya.

Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 12 Mac hingga 18 Mac ini di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Mengulas lanjut modus operandi ragut, beliau berkata, beg silang yang digalas mangsa dilihat memudahkan lagi kegiatan ragut ketika berjalan seorang diri.

“Kita nasihatkan orang ramai agar berhati-hati apabila keluar kerana peragut akan mencari mangsa mereka tanpa mengenal erti siang atau petang.

“Pihak IPD Serdang menyarankan orang awam yang pernah menjadi mangsa ragut kepada suspek ini untuk membuat laporan polis dan sekiranya mempunyai maklumat individu yang mencurigakan boleh memberi maklumat kepada pihak polis untuk diambil tindakan,” pesannya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI