fbpx

Speedy Tigers tanpa ramai superstar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAZIE (tengah) antara bintang yang tidak tersenarai menyertai skuad kebangsaan di bawah kendalian Sarjit.

BUAT pertama kali dalam sejarah, seramai 46 pemain dipanggil bagi menyertai sesi pemilihan skuad hoki lelaki kebangsaan yang akan bermula 19 Mac ini di bawah kendalian ketua jurulatih baharu, Sarjit Singh.

Senarai diumumkan agak mengejutkan menerusi ke­tiadaan pemain-pemain bintang seperti pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Razie Abdul Rahim, Muhammad Najmi Farizal Jazlan, Muhammad Shahril Saabah, Muhammad Firhan Ashari dan Faiz Helmi Jali.

Bagaimanapun, Sarjit memiliki alasan tersendiri mengapa beliau mengenepikan pemain-pemain berkenaan menjelang sesi pemilihan awal yang di­jadualkan berlangsung selama dua hingga tiga minggu.

Selepas itu, senarai pemain akan dikecilkan kepada 30 de­ngan 18 pemain bakal disenaraikan menghadapi Piala Sultan Azlan Shah dari 4 hingga 11 Mei depan dan Piala Negara-Negara FIH di Gniezno, Poland (31 Mei-9 Jun).

“Sasaran kita adalah dua tahun setengah iaitu Sukan Asia (2026), jadi pemain diberikan peluang untuk buktikan mereka berhak berada dalam skuad kebangsaan. Pemain-pemain yang dipanggil akan mendapat pe­luang yang banyak untuk ber­saing sesama sendiri.

“Setiap kali jurulatih baharu ambil alih pasukan, mereka ada perancangan empat hingga enam tahun. Bukan saya kata pemain lama tidak bagus, tetapi kalau ada pemain muda yang mampu ambil tanggungjawab, kita senaraikan mereka.

“Mereka (Najmi dan Razie) adalah bekas pemain saya, jadi saya sudah bercakap dengan mereka. Bagi saya, tiada sebarang isu,” katanya pada sidang akhbar pengumuman senarai pemain Speedy Tigers di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.

Biarpun tanpa kehadiran Razie dan Najmi, Sarjit masih memanggil beberapa pemain ‘otai’ seperti kapten, Muhammad Marhan Jalil; pasangan adik beradik, Faizal dan Mohd. Fitri Saari serta penjaga gol, Muhammad Hafizuddin Othman.

Jelas Sarjit, skuad Speedy Tigers yang berwajah baharu itu akan menjadikan pemain-pemain seperti Faizal, Marhan dan Fitri sebagai tunjang utama dalam usaha membentuk sebuah pasukan terbaik.

“Kita ada empat pemain yang berusia lebih 30 tahun iaitu Marhan, Faizal, Fitri dan Hafizuddin. Kita semua tahu Faizal, Fitri dan Marhan adalah pemain luar biasa, jadi kita akan bina pasukan berpandukan mereka,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI