fbpx

Tahanan di rumah bagi banduan bukan untuk keluarkan Najib dari penjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin bercakap pada sidang akhbar ketika melawat ke Rumah Seri Kenangan, Ulu Kinta, Ipoh hari ini. - FOTO MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

IPOH – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membidas laporan yang mendakwa tindakan kerajaan melaksanakan Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) menerusi tahanan di rumah (home detention) adalah untuk mengeluarkan Datuk Seri Najib Tun Razak dari penjara.

Beliau berkata, tindakan kerajaan itu sebaliknya bermatlamat untuk mengurangkan kesesakan di kesemua 43 penjara di negara ini yang mana ia menempatkan kira-kira 80,000 orang banduan ketika ini.

“Yang saya nak sanggah ini nakal sesetengahnya media. Saya ada baca (laporan media), adakah ini maksudnya nak meletakkan Najib di bawah tahanan rumah. Tengok, punya nakal.

“Tak boleh nak tengok perspektif nak kurangkan kesesakan penjara khususnya untuk kategori tertentu. Ada panel yang menilainya dan bagi jenis kesalahan yang kami cadang nak buat, yang telah jatuh hukuman kurang empat tahun,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Program Ujian Pengetahuan Bahasa Melayu (UPBM) di Kompleks KDN di Meru di sini sebelum meneruskan agenda lawatan ke Rumah Seri Kenangan di Ulu Kinta di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jumlah 80,000 banduan di kesemua penjara itu juga tidak selari dengan nisbah antarabangsa.

“Mana datang 80,000 (banduan)? Sebab daripada 100,000 penduduk kita, 244 masuk penjara. Standard antarabangsa 100,000 penduduk, 145 (masuk Penjara). Ia menyumbang kepada kesesakan penjara.

“Kalau penjara sesak, timbul isu keselamatan, penyakit berjangkit dan macam-macam lagi. Menjadi tanggungjawab pemerintah terutama yang nak menghayati nilai Madani ini, apa ikhtiar untuk mengurangkan kesesakan,” katanya.

Beliau berkata, terdapat tiga kaedah dilaksanakan bagi membantu mengurangkan jumlah banduan ketika ini iaitu parol, perintah kehadiran wajib dan pembebasan berlesen namun ia belum memadai.

“Apa lagi usaha lain? Tahanan rumah. Kepada siapa kami sasarkan, ibu mengandung. Dia disabitkan hukuman mahkamah, takkan nak suruh dia duduk dalam penjara, penjagaan bayi dalam kandungan dan sebagainya. Alangkah lebih ihsan sekiranya kita ikhtiarkan dia berada di rumah.

“Contoh juga kalau seseorang disabitkan kesalahan oleh mahkamah dan proses undang-undang dah berlaku, sudah jatuh hukum dan dia berumur 81. Penyakit banyak, takkan nak letak dalam penjara. Ada tak ikhtiar lain? Tahanan rumah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI