PETALING JAYA – Zhafou Global Sdn. Bhd. pengeluar produk berasaskan sarang burung berjenama FG Walet, optimis terhadap kerjasamanya dengan MyNews yang memiliki lebih daripada 600 cawangan akan mengembangkan penguasaan pasaran dan memudahkan lagi akses pelanggan untuk mendapat produk tersebut.
Produk keluaran syarikat bumiputera yang telah mendapat pensijilan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu akan menggunakan platform pemasaran yang meluas itu untuk mengedarkan produk terbaharunya iaitu siri minuman penggalak kulit.
Produk yang terdiri daripada dua kategori iaitu The Premium Bird’s Nest with Extra Collagen and Rock dan The Premium Bird’s Nest with Collagen and L-Cysteine ditawarkan pada harga antara RM12.90 hingga RM14.90.

Pengasas syarikat, Datin Fauziah Ghous berkata, melalui kerjasama tersebut, ia akan meningkatkan keyakinan syarikat untuk menawarkan produk berkualiti ekoran peningkatan kesedaran terhadap gaya hidup sihat yang semakin bertambah.
“Pemilihan produk kami di MyNews adalah kerana jenama kami yang semakin kukuh di pasaran ekoran pengembangan pasaran di beberapa lagi platform peruncitan di negara ini.
“Kami turut mendapat sokongan bukan sahaja daripada MyNews tetapi juga daripada pemain lain dalam bidang peruncitan untuk menjual produk FG Walet.
“MyNews telah memberi cadangan untuk menjual produk sarang burung premium FG Walet untuk diletakkan di semua outlet mereka.
“Kerjasama dengan ini cukup mudah kerana mereka memahami perniagaan kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran produk terbaharu FG Walet di MyNews Plaza Sentral, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Selain itu, beliau menjelaskan, syarikat telah berjaya menembusi rangkaian peruncitan di Brunei, Singapura dan Vietnam untuk menjual produk-produknya kepada pelanggan.
FG Walet menggunakan sarang burung terbaik dan 100 peratus bahan semula jadi bagi memastikan pengguna menerima produk tulen yang memberi manfaat kepada kesihatan. -KOSMO! ONLINE














